Datuk Dr Md Farid Md Rafik
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional memberi jaminan isu gelandangan di negara ini akan ditangani dengan lebih berhemah bagi memastikan mereka mendapat peluang kedua.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, beliau akan mengadakan rundingan dengan semua pihak berkaitan dalam usaha membantu golongan tersebut.

“Saya mahu mencari jalan untuk bersama-sama membantu dan memudahkan urusan mereka, kita juga akan melihat apa yang boleh dilakukan oleh golongan gelandangan ini dari segi peluang pekerjaan.

“Mungkin pekerjaan dari segi sektor pembinaan atau kawalan keselamatan, kita boleh tengok untuk tambah baik.

“Kita juga perlu mengkaji perkara ini secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui pada Program Bersama Gelandangan 2018 anjuran Pertubuhan Sukarelawan Inovatif di Pusat Transit Gelandangan, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Inovatif, Noozwan Abdul Wahab dan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Zulkifli Ibrahim.

Datuk Dr Md Farid Md Rafik
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Dr Md Farid Md Rafik (tengah) bergambar bersama sukarelawan dan selebriti pada Program Bersama Gelandangan 2018 anjuran Pertubuhan Sukarelawan Inovatif di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, isu gelandangan ditangani bukan sahaja pihak kerajaan bahkan ia banyak melibatkan orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan ini.

“Usaha menangani isu gelandangan membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Saya difahamkan segelintir daripada golongan gelandangan ini pernah bekerja dalam sektor profesional, mereka bukan sengaja memilih jalan hidup di jalanan.

“Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sebahagian daripada golongan ini pula dipercayai baru keluar dari pusat pemulihan atau penjara.

“Golongan ini kita harus bantu kembali kepada masyarakat,”  katanya lagi.

Md Farid turut memuji inisiatif yang digerakkan NGO Pertubuhan Sukarelawan Inovatif dalam menyantuni golongan gelandangan.

“Mereka telah menyampaikan bantuan dan makanan kepada golongan tersebut, ia sama seperti usaha yang dilakukan oleh NGO lain, ia merupakan satu nilai kemanusiaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette