Harnarain Singh Gill
Harnarain Singh Gill

KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Hak Minoriti (MiRA) mengutuk kejadian gangguan seksual yang berlaku di sebuah stesen radio swasta baru-baru ini.

Sehubungan itu, Naib Presidennya, Harnarain Singh Gill menggesa pengurusan stesen radio berkenaan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta polis menyiasat kes itu yang disifatkan sebagai serius.

Jelas beliau, kes itu telah mendapat perhatian umum dan majoriti daripada masyarakat negara ini mengecam perbuatan tidak bermoral seperti gangguan seksual ke atas kakitangan stesen penyiaran itu.

Beliau yang juga Presiden Majlis Media Minoriti (MMC) mahu semua stesen penyiaran mengambil langkah keselamatan ke atas kakitangannya agar kejadian sama tidak berulang.

“MiRA mencadangkan majikan diambil tindakan seperti dikenakan denda yang tinggi yang tidak mematuhi tatakelakuan terhadap pekerjanya bagi hal berkaitan salah laku seksual.

“Kita berharap, kakitangan yang menjadi mangsa kepada gangguan seksual segera membuat laporan polis dan MiRA sedia membantu mereka,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan berlaku gangguan seksual ke atas seorang kakitangan penyiaran di sebuah stesen swasta tempatan.

Berikutan itu, tindakan telah diambil oleh pihak pengurusan stesen berkenaan bagi menyiasat tuduhan itu. – MalaysiaGazette