Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media berkenaan isu Perkhidmatan Teksi dan Penyedia Perkhidmatan Atas Talian Grab di Hotel De Palma Ampang, Ampang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPURĀ – Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail tidak pernah membelakangkan pemandu teksi apabila menemui Menteri Pengangkutan, Anthony Loke minggu lalu.

Beliau berkata, Anthony tidak membenarkannya membawa mana-mana pihak untuk mewakili pemandu teksi di negara ini yang masih tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Saya tak membelakangkan sesiapa, saya menghantar surat kepada Anthony Loke pada 5 November, apa yang tular di media sosial itu tak betul.

“Anthony Loke bercakap dengan saya terus, dia tak dapat berjumpa dengan Gabungan Teksi 1Malaysia (GTSM) kerana beliau mendapati badan ini tidak berdaftar dengan RoS, itu sahaja.

“Beberapa pemandu GTSM menggesa saya untuk bawa presidennya Kamarudin Mohd Hussain tapi Anthony Loke beri saya arahan nak jumpa dia seorang saja,” katanya pada sidang media di Wisma Central, hari ini.

MGF03122018_SIDANG MEDIA ISU TEKSI DAN GRAB_04
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media berkenaan isu Perkhidmatan Teksi dan Penyedia Perkhidmatan Atas Talian Grab di Hotel De Palma Ampang, Ampang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 DISEMBER 2018.

Isnin lalu, Anthony mengadakan pertemuan dengan Shamsubahrin bagi membincangkan kemelut yang dihadapi komuniti pemandu teksi selepas kehadiran syarikat e-panggilan yang menjejaskan punca pendapatan mereka.

Dalam pertemuan 45 minit itu, Anthony memberi jaminan semua pemandu e-hailing seperti Grab diwajibkan membuat pendaftaran lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) seperti pemandu teksi, bermula 1 Januari 2019.

Shamsubahrin juga menafikan pertemuan itu diatur kerana beliau mahu menerima imbuhan tertentu daripada Pakatan Harapan (PH).

“Sejak beberapa tahun ini saya bersuara seorang, cuma bila saya ke Putrajaya (demostrasi) atas kes Tony Pua, saya menjemput semua datang.

“Bila dia kata saya upah orang dan buat duit, semua ini tak betul, saya bukan orang kaya nak upah orang buat duit.

“Memang betul saya bagi (duit) kalau orang tolong kerja untuk saya. Isunya bukan saya tak nak bawa, (tapi) Anthony Loke yang tak bagi bawa.

“Macam mana nak jumpa kalau GTSM tidak berdaftar dengan RoS, dia tiada standing, dia nak bincang atas dasar apa.

“Bukan saya yang cakap, atas prinsip persatuan, bukan, atas gabungan tapi tak berdaftar,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak merancang untuk mengambil tindakan terhadap presiden GTMS itu bahkan beliau menerima serangan itu dengan terbuka hati.

“Tapi saya tahu Kamaruddin telah menular dan memburukkan saya, saya terima saja laa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette