KUALA LUMPUR – Kaum wanita dinasihatkan supaya menjauhi pengambilan jamu dan beralih kepada alat mencegah kehamilan yang moden, kata Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FHRAM), Datuk Dr Kamaruazman Ali.
Katanya, maklumat yang tidak tepat dari kawan-kawan tentang cara terbaik mengelakkan kehamilan menyebabkan ramai yang mengabaikan keutamaan untuk membuat rujukan kepada pakar.
“Kalau kita tengok kajian 2014, penggunaan alat cegah kehamilan masih 50 peratus lebih rendah daripada Singapura, Indonesia, Thailand.
“Cara moden untuk mencegah kehamilan antara 25 peratus, yang lain masih pakai kaedah yang dengar daripada kawan, pakailah macam-macam ubat, jamulah.
“Kami harap lebih ramai lagi yang jauhkan diri daripada jamu-jamu dan dapatkan cara kontraseptif yang moden,” katanya ketika sesi soal jawab dalam forum bertajuk Amalan seks yang bijak untuk generasi alaf baharu yang sudah berumah tangga – Kemesraan, keluarga dan kesihatan”.
Jelas beliau, kebimbangan yang tidak berasas tentang kesan sampingan alat mencegah kehamilan masih tinggi sehingga ramai menggunakan cara sendiri tanpa mendapatkan nasihat dan rujukan terlebih dahulu.
“Sebab macam-macam yang kita percaya orang kata takut tak boleh mengandunglah selepas itu semua informasi yang salah
“Pergi jumpa doktor dan berbincang. Kalau nak cakap pasal kesan sampingan, semua benda ada kesan sampingan, kalau tiada itu bomoh. Dalam kehidupan realiti semua ubat ada kesan sampingan tapi yang perlu diperjelaskan adalah apa yang mengurangkan kesan sampingan mengikut kemampuan dos ubat.
“Penting untuk kami memberi maklumat dan pada anda semua jangan percaya sangat informasi daripada kawan, dapatkan informasi daripada pakar perubatan,” tambahnya.
‘
Kamarulazman dalam masa yang sama mengumumkan “Kaji Selidik Kesejahteraan Seks Generasi Alaf baharu Di Malaysia Yang Sudah Berumah Tangga’ di laman sesawang http://bit.ly/malaysianmarriedmilennials.
Kaji selidik ini, katanya, untuk pasangan suami isteri antara 20 hingga 40 tahun berkongsi pandangan, amalan dan pendapat tentang kemesraan, pencegahan kehamilan dan perkara berkaitaan dengan rumah tangga. – MalaysiaGazette