KUALA LUMPUR – Pekebun kecil dijangka mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM144 sebulan atau RM1,728 setahun bagi pengeluaran getah seluas dua hektar dengan peningkatan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai 2019.
Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata, harga getah beku kini berada pada paras RM1.80 sekilogram, dan hanya 15 hingga 20 peratus pekebun kecil yang memanfaatkannya sejak diperkenalkan pada 2015.
Katanya tambahan pendapatan itu lebih tinggi berbanding RM600 diperuntukkan bagi Bantuan Musim Tengkujuh yang dibayar untuk tempoh tiga bulan.
“Oleh itu, kami mahu seramai mungkin pekebun kecil memohon insentif ini. Lebih banyak mereka menoreh, lebih banyak lebihan pendapatan dapat dijana,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Zairossani berkata terdapat 1 juta hektar ladang getah di Malaysia yang menghasilkan lebih 1 juta tan getah mentah pelbagai gred setahun, dengan 90 peratus melalui pekebun kecil. – MalaysiaGazette