Pakar Obstetrik dan Ginekologi, dan Penyelaras Unit Perancangan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Harlina Halizah Siraj berucap pada forum 'Amalan Seks Yang Bijak Untuk Generasi Alaf Baharu Yang Sudah Berumah Tangga : Kemesraan, Keluarga dan Kesihatan' di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 04 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Majoriti pasangan suami isteri di negara ini  masih menganggap penggunaan kondom suatu taboo dan penggunaannya seolah-olah satu dosa.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi dan Penyelaras Unit Perancangan Keluarga Pust Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Profesor Dr Harlina Halizah Siraj berkata, stigma ini perlu diperbetulkan kerana hakikatnya penggunaan kondom dalam hubungan intim suami isteri dapat membantu merancang keluarga.

“Ada stigma terhadap kondom hingga ada pasangan memberitahu, “doktor, kita orang baik-baik” (jika bercakap tentang pemakaian kondom). Ia macam ada satu persepsi terhadap kondom,” katanya.

Menurut beliau, topik tentang keperluan pemakaian kondom sepatutnya dibincangkan secara terbuka seperti mana topik pencegahan kehamilan kepada golongan wanita.

Jelas Harlina lagi, ini kerana tanggungjawab merancang keluarga adalah tanggungjawab kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri dan bukannya salah seorang daripada pasangan itu sahaja.

“Kita tidak ajar cara pakai kondom, perkara ini perlu dibincang secara terbuka macam kita bincang macam mana pencegahan kehamilan perlu dibuat untuk wanita,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel dalam forum ‘Amalan seks yang bijak untuk generasi alaf baharu yang sudah berumah tangga – Kemesraan, keluarga dan kesihatan’.

Mengulas lanjut, Ahli Psikologi Sosial, Dr Kamal Kenny pula berkata, stigma terhadap penggunaan kondom sering kali berlaku kepada suami yang tidak menganggapnya efektif dalam memberi kepuasan dalam hubungan intim bersama pasangan.

“Isu kepuasan seksual, itu kes selalu kita jumpa,” kata Kamal yang juga merupakan Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast