Amar Singh Ishar Singh
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh. foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang bakal menamatkan perkhidmatannya, berkongsi pengalaman manisnya apabila beliau menjadi pengiring kepada pemandunya.

Dalam satu majlis serah tugas yang berlangsung hari ini, Amar Singh menceritakan situasi yang sengaja dilakukan apabila beliau memberi peluang kepada pemandunya itu merasai apa yang dirasai setiap hari sepanjang bergelar ‘bos’ di sebuah jabatan.

Menurutnya, dalam satu situasi pada tiga hari lalu, beliau telah melakukan kejutan apabila mengambil tugas anggota pengiring bermotosikal yang sering mengiringinya untuk ke Bukit Aman setiap pagi.

Katanya, beliau mempunyai seorang pemandu khas yang akan mengambil dan menghantarnya pulang ke kediamannya di Klang setiap hari.

“Saya lakukan ini tiga hari lalu, ketika itu saya nak datang ke pejabat. Jalan untuk ke Bukit Aman dari Klang memang sesak setiap hari.

“Saya suruh pemandu itu berhenti di sebuah stesen minyak Petronas di Subang. Pengiring pun berhenti sama. Dia berhenti dekat dengan tandas. Mereka ingat saya nak buang air kecil, saya kata tidak.

“Saya keluar dan suruh anggota pengiring duduk dalam kereta. Saya pakai kelengkapan menunggang dan kemudian bawa motor pengiring itu hingga sampai ke pejabat,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin yang mendengar ucapan beliau pada Majlis Serah Tugas dan Penyampaian Anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara di dewan Tan Sri Khalid Pulapol di sini hari ini.

Amar Singh telah berkhidmat dengan PDRM sejak 35 tahun lalu dan akan menamatkan perkhidmatannya dalam pasukan itu pada hari ini.

Beliau sepatutnya bersara pada Jun lalu namun disambung perkhidmatan atas sebab-sebab tertentu.

Amar berkata, beliau sangat menyukai kerjayanya itu dan menganggap ia sebagai satu tugas paling menarik berbanding daripada yang lain.

Katanya, beliau memilih kerjaya itu kerana mahu menyambung legasi datuk dan ayahnya yang ketika itu menyandang pangkat sebagai koperal.

Ujarnya, meskipun beliau akan bersara tetapi dihatinya tetap memandang tinggi peranan yang dimainkan oleh PDRM serta akan menyemat kecintaannya dalam pasukan itu di dalam sanubarinya.

Dalam pada itu, Amar turut menasihatkan kepada anggota dan pegawai yang masih berkhidmat dalam pasukan berkenaan agar sentiasa menyayangi tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

“Ingatlah, bahawa kerjaya ini sangat bermakna. Bagi saya bertugas sebagai anggota polis adalah satu bidang kerjaya yang sangat hebat di dunia.

“Walaupun telah bersara saya tetap akan menabur khidmat untuk semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette