KUALA LUMPUR – Akibat cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini, Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) menjangkakan berlaku kelewatan untuk khidmat penghantaran di seluruh negara.

Namun begitu, Pos Malaysia dengan menggunakan tanda pagar #teampossible di laman  Twitter memberi jaminan akan berusaha menangani kelewatan yang tidak dapat dielakkan akibat cuaca yang kini sering hujan.

“Disebabkan cuaca yang tidak menentu setiap hari di kebanyakan negeri, operasi penghantaran Pos Malaysia akan mengalami kelewatan.

“Kami akan meneruskan operasi penghantaran secepat mungkin. Terima kasih atas kesabaran anda semua. #teampossible #posmalaysia,” catatan Pos Malaysia di laman Twitter yang turut melampirkan gambar pekerjanya memakai baju hujan demi membuat penghantaran.

Meteorologi menerusi laman web rasminya memaklumkan negara sehingga penghujung Mac depan dalam fasa Monsun Timur Laut yang mengakibatkan beberapa siri hujan berlaku di negeri-negeri di timur Semenanjung Malaysia serta di barat Sarawak.

Sepanjang tempoh bulan ini, negeri-negeri di pantai timur
Semenanjung masih lagi dijangka menerima cuaca yang lembap dengan jumlah hujan bulanan melebihi 450mm. -MalaysiaGazette