KUALA LUMPUR – Masalah kewangan Felda semakin kritikal apabila terpaksa menjelaskan RM146 juta kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.
Perkara tersebut didedahkan Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda Prihatin, Datuk Mazlan Aliman yang mendakwa jumlah yang perlu dilunaskan itu merupakan bayaran ansuran bulanan yang perlu dijelaskan Felda di atas pinjamannya sebelum ini berjumlah RM6.5 bilion.
“Saya mendapat maklumat terkini bahawa Felda mesti membuat bayaran atas pinjaman kepada KWSP dan jumlah yang harus dibayar dalam tempoh tiga hari ini dari sekarang berjumlah RM146 juta.
“Oleh kerana keadaan kewangan Felda begitu kritikal, mereka tak boleh nak bayar, jadi mereka bergantung kepada pinjaman yang dimohon daripada kerajaan.
“Felda minta tolong dengan saya supaya Kementerian Kewangan dapat membantu Felda dengan pinjaman RM500 juta yang dimohon sebelum ini,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur International Hotel, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mazlan juga telah menemui Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 1 Disember lalu berhubung permohonan pinjaman sebanyak RM500 juta yang dibuat Felda sebelum ini.
“Saya katakan kepada Datuk Seri Azmin sekiranya kerajaan melalui Kementerian Kewangan gagal untuk berbuat demikian untuk membantu Felda, memang kita berdepan dengan keadaan semakin buruk.
“Sekarang ini pun Felda masih gagal membuat bayaran sara hidup kepada 32,000 peneroka yang terlibat dengan penanaman semula. Sepatutnya bayaran ini dibuat antara 22 hingga 23 setiap bulan dan kini tertunggak lebih 10 hari,” katanya.
Katanya lagi, pinjaman setengah bilion itu diperlukan Felda bagi membantu melunaskan pelbagai bayaran khususnya bayaran hasil sawit peneroka yang masih tidak mendapat bayaran.
“Memang peneroka datang jumpa kami bila pinjaman mereka tidak dibayar sejak 10 hari lalu. Keadaan mereka begitu teruk sekali.
“Koperasi Felda yang terlibat dengan penyelenggaraan kebun peneroka Felda, mereka pun sudah beberapa bulan tidak mendapat bayaran
“Ada koperasi terlibat ini tunggakan bayaran Felda kepada mereka ada yang sudah mencecah RM100,000 sehingga mereka tertekan membayar kakitangan koperasi
“Kontraktor-kontrak ladang pun mereka tidak mendapat bayaran sejak beberapa bulan daripada Felda
“Saya boleh kata situasi kewangan Felda agak tenat, mereka memang mengharapkan pinjaman RM500 juta ini dapat diberikan dalam kadar segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette