Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Bhd. dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed
Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR- BIMB Holdings Bhd (BIMB) melantik Mohd. Muazzam Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya dan anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) berkuatkuasa serta-merta.

Mohd Muazzam yang merupakan seorang akauntan berkanun merupakan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Bank Islam sejak 11 Mei 2015.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif selepas peletakan jawatan Khairul Kamarudin pada 20 Julai 2018 yang lalu.

Dalam kenyataannya, BIMB berkata, Mohd Muazzam memiliki pengalaman selama 22 tahun dalam bidang audit, kewangan dan perundingan.

“Sejak menyertai Bank Islam, beliau memainkan peranan utama dalam hala tuju strategik Bank Islam, pengurusan modal dan lembaran imbangan, kewangan korporat, kredit, peletakan pasaran, perancangan dan kawalan kewangan serta pentadbiran am.

“Beliau adalah ahli dalam pelbagai jawatankuasa eksekutif di Bank Islam dan mempengerusikan beberapa jawatankuasa pemandu projek,” katanya.

Mohd Muazzam juga adalah Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat dalam Kumpulan BIMB dan Bank Islam.

Beliau merupakan Akauntan Bertauliah (Institut Akauntan Malaysia), Akauntan Awam Bertauliah (Institut Akauntan Awam Malaysia), Juruaudit Sistem Maklumat Bertauliah (ISACA) dan Akauntan Kewangan Awam Bertauliah (Institut Kewangan Awam dan Perakaunan Berkanun).

Mohd Muazzam juga pernah menjadi Rakan Kongsi KPMG dan Pengarah Eksekutif bagi Konsultansi Pengurusan KPMG dari tahun 1997 hingga 2015.- MalaysiaGazette