KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak menyah-senarai Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVHB) daripada Bursa Malaysia sebagai langkah memulihkan kewangan badan perladangan itu.
Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda Prihatin, Datuk Mazlan Aliman berkata, dengan cara itu aset Felda yang dipajakkan kepada FGV dapat dikembalikan dan mampu menjana RM1 bilion setahun.
“Tanah yang dipajak oleh FGV lebih kurang 340,000 hektar dan semua kilang Felda yang telah diambil alih oleh FGV lebih kurang sekitar 69 kilang sawit.
“Kalau dikembalikan tanah dan kilang ini, ia akan jadi sumber pendapatan kepada Felda. Melalui tanah Felda Plantation ini, perolehan tanah yang ditanam kelapa sawit lebih kurang RM1 bilion setahun.
“Bayangkan aset ini dikembalikan kepada Felda, kalau tidak normal sepenuhnya pun sebahagian daripada kewangan Felda akan dapat ditangani,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur International Hotel, di sini, hari ini.
Mazlan juga mendakwa, selagi mana kerajaan masih mengekalkan pengurusan tertinggi Felda yang pernah berkhidmat dengan bekas pengerusi FGVHB, Tan Sri Isa Samad, selagi itu pernyata kewangan badan itu sukar dimuktamadkan.
“Kerajaan perlu campur tangan dalam isu ini kerana bahagian kewangan Felda masih gagal memuktamadkan penyata hutang peneroka dan ia memberi kesan kepada potongan hasil pendapatan peneroka.
“MPNF menuntut rombakan besar-besaran barisan pengurusan Felda yang tidak menunjukkan kualiti prestasi kerja yang baik. Antara yang dilihat gagal adalah jabatan kewangan dan DDG Ekonominnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette