Projek Solar Berskala Besar (LSS) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Mukim Tanjung 12, Sepang, Selangor telah dimula tugas dan menyumbang tenaga boleh baharu (RE) ke grid nasional pada tengah malam 23 November tahun lalu. foto TNB

KUALA LUMPUR – Projek Solar Berskala Besar (LSS) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Mukim Tanjung 12, Sepang, Selangor telah dimula tugas dan menyumbang tenaga boleh baharu (RE) ke grid nasional pada tengah malam 23 November lalu.

LSS terbesar pertama negara, di kawasan seluas 98 hektar itu menjana elektrik menggunakan 230,000 panel solar.

TNB berkata, penjanaanya, dengan kapasiti 50MWac meningkatkan kapasiti RE TNB ke grid nasional kepada 73.2 MW sejajar agenda kerajaan memperkasakan penjanaan tenaga yang lebih mesra alam.

Projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang dimenangi secara bidaan kompetitif bernilai lebih RM300 juta itu, dibangunkan oleh TNB Sepang Solar Sdn. Bhd (TSSSB), sebuah anak syarikat milik penuh TNB mulai tahun lalu.

Untuk rekod, LSS tersebut mencapai tarikh awal operasi (IOD) dengan penjanaan awal sebanyak 2.4 MW, Oktober lalu.

Dengan bermulanya tugas itu, LSS menyumbang kepada usaha kerajaan menuju sasaran penjanaan 20 peratus daripada sumber RE menjelang 2030.

TNB yang komited mendukung usaha tersebut mensasarkan sumbangannya terhadap kapasiti penjanaan daripada RE sebanyak 1,700 MW menjelang 2025. – MalaysiaGazette