Tun Abdul Hamid
Tun Abdul Hamid Mohamad

KUALA LUMPUR – Peserta perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu ini diingatkan agar sentiasa bersopan dan berhimpun secara aman.

Peringatan itu disampaikan oleh bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang mahu maksud perhimpunan tersebut dapat disampaikan melalui mesej yang jelas serta pendirian yang tegas.

Malah beliau sekali lagi menegaskan bahawa perhimpunan itu dibuat bagi menentang ICERD yang dilihat bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Pesekutuan mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah serta Sarawak yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum Merdeka.

“Orang Melayu tidak pernah mempersoalkan hak yang diberikan kepada orang bukan Melayu.

“Maka orang bukan Melayu dan kerajaan Pakatan Harapan janganlah cuba menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Dalam hal ini, tidak ada tolak ansur. Bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia hendaklah bersatu dan mempertahankan hak mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

DBKL benarkan perhimpunan kesyukuran ICERD di Jalan Raja

Cuti peristiwa di Kelantan sempena perhimpunan tolak ICERD

Abdul Hamid turut menggesa anak-anak Sabah dan Sarawak supaya sedar bahawa jika hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan, hak keistimewaan mereka juga akan terhapus.

“Kepada semua rakyat Malaysia saya berseru, hormatilah peruntukan Perlembagaan Malaysia dan bersama-samalah membina sebuah negara Malaysia yang aman, tenteram, makmur dan maju seperti yang kita telah lakukan semenjak Merdeka,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kemaafan kepada semua pihak kerana tidak tidak dapat hadir pada perhimpunan berkenaan ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Perhimpunan ICERD untuk raikan keputusan kerajaan – Zahid

Perhimpunan berkenaan yang akan berlangsung di Jalan Raja di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad akan bermula pada pukul 2 petang hingga 6 petang pada hari berkenaan.

Permit bagi mengadakan perhimpunan itu dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil mesyuarat bersama beberapa agensi kerajaan dan PDRM. – MalaysiaGazette