Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Dr Maszlee Malik menarik balik kenyataannya mahu memasukkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam buku Sejarah.

Beliau berkata, Menteri Pendidikan itu tidak perlu berdolak dalik dan menuding jari pada media kononnya salah lapor kenyataannya.

Katanya, Parlimen telah mengeluarkan hansard berhubung soal jawab Dr Maszlee dengan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang bertanyakan mengenai sejarah di sekolah swasta di negara ini.

“Dr Maszlee yang saya hormati. (Kenyataan) sudah masuk hansard Parlimen. Lebih baik tarik balik kata-kata YB (Yang Berhormat) di Parlimen daripada berterusan menipu rakyat,” katanya dalam lantunan Twitter beliau semalam.

Dalam soal jawab itu, Ahmad Maslan bertanyakan soalan kepada Dr Maszlee yang beliau mahu tahu ada berapa kumpulan sekolah swasta di negara ini dan adakah mereka mengambil mata pelajaran sekolah swasta Cina.

Katanya, apakah tajuk dan fakta sejarah yang menjadi kontroversi dalam negara ini dan berapa tahun satu-satu peraka itu boleh dianggap sebagai sejarah dan boleh dimasukkan dalam subjek Sejarah.

Menjawab soalan itu, Dr Mazlee berkata, beliau amat bersetuju dengan pandangan Ahmad Maslan mengenai sesuatu kesilapan dalam sejarah perlu dipelajari agar tidak diulangi.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia supaya generasi ke depan tidak akan mengulangi. Begitu juga dengan jenayah..,” katanya.

Ahmad Maslan terus bertanya, adakah ianya termasuk RM42 bilion harta 1MDB, dengan hutang cuma RM31 bilion dalam sejarah itu.

Secara ringkas Menteri Pendidikan yang penuh dengan jawapan kontroversi itu menjawab, yang dilakukan oleh ahli politik dalam menyamun. – MalaysiaGazette