Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), yang kini terlibat dalam dakwaan salah urus dan dibelenggu hutang yang tinggi, telah memulakan penjualan aset bukan strategik untuk menampung liabilitinya, kata Pengerusi Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

“Kami telah memulakan proses penjualan aset tidak strategik di dalam dan di luar negara dan proses ini akan berjalan mungkin sehingga pertengahan atau akhir tahun depan.

“Diharapkan harga yang kami dapat hasil daripada penjualan aset-aset tersebut dapat menampung liabiliti kami dan juga untuk mengurangkan masalah peneroka yang pada masa ini sangat susah disebabkan harga sawit yang rendah,” katanya kepada pemberita di luar majlis konvokesyen Kolej Yayasan FELDA di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, organisasi itu telah menerima pembeli yang berminat untuk membeli aset tersebut tetapi tidak bersedia untuk mendedahkan lebih banyak maklumat berikutan semua perjanjian jual beli perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan.

“Kami mengikut tadbir urus yang baik untuk memastikan kami memberi peluang yang sama kepada mereka yang berminat. Sesiapa yang berminat perlu masuk tender (bagi) apa-apa aset yang mereka mahu,” katanya.

Pada September, FELDA mengumumkan penjualan asetnya, termasuk hotel, pangsapuri dan asrama pelajar berjumlah kira-kira RM2.2 bilion, yang dijangka membantu mengurangkan hutangnya kepada RM6.5 bilion pada akhir tahun daripada hutang sebanyak RM8.05 bilion dicatatkan sehingga 30 Jun.

Megat Zaharuddin berkata dengan pelaksanaan ini, agensi kerajaan itu berada di landasan untuk mencatat keuntungan dan dapat memulihkan organisasi dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Katanya penjualan aset itu dibuat untuk menambah aliran tunai kepada organisasi tersebut yang pada masa ini mempunyai pinjaman dengan institusi kewangan.

“Oleh itu, kita perlu mendapat aliran tunai sedikit dari luar daripada apa yang kita biasa guna iaitu melalui pendapatan daripada minyak sawit atau pembayaran hutang daripada peneroka.

“Kita juga mempunyai SOP (prosedur operasi standard) di mana setiap peneroka yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 ditangguhkan untuk membayar hutang mereka kepada FELDA dan apa sahaja masalah sosial yang dihadapi setiap peneroka kita akan melihat kemampuan kita untuk menolong mereka,” katanya.

Baru-baru ini, harga minyak mentah merosot di bawah RM2,000 satu tan disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi, susulan cuaca yang baik, dengan kekurangan permintaan.

Masalah sama turut berlaku di negara lain yang menghasilkan minyak makan.

“Kita berharap harga minyak sawit dunia akan pulih pada tahun depan dan kami akan berusaha untuk mencari jalan bagi mencapai jangka masa dua tahun itu secepat mungkin,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini kertas putih, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Dis, katanya FELDA telah memberikan semua dokumen kepada kerajaan dan ia terpulang kepada mereka (kerajaan) jika mereka memerlukan lebih banyak maklumat.

“Kami sentiasa berbincang dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan mereka mempunyai semua maklumat yang mereka perlukan,” katanya.

Kerajaan pada Ogos lalu mengumumkan akan membentangkan kertas putih mengenai FELDA berikutan kecelaruan pengurusan organisasi itu dan dibelenggu hutang yang tinggi.

Mengenai pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), Megat Zaharuddin berkata Felda akan berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi peraturan dengan memastikan semua kawasan perladangannya 100 peratus diperakui MSPO.

“Diharapkan tahun depan kami dapat mencapai 100 peratus berbanding 42 peratus setakat ini,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast