Malaysia mencadangkan mesyuarat diadakan dengan Singapura untuk membincangkan isu ruang udara dan sempadan maritim yang belum selesai. - foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Malaysia mencadangkan mesyuarat diadakan dengan Singapura untuk membincangkan isu ruang udara dan sempadan maritim yang belum selesai.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini membayangkan bahawa mesyuarat itu juga akan memaklumkan “contact” yang telah dibuat antara menteri pengangkutan dari kedua-dua negara untuk menyelesaikan isu Sistem Pendaratan Instrumen (ILS).

“Kerajaan Malaysia hari ini berkomunikasi dengan Kerajaan Singapura mengenai dua nota bantahan melalui Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia. Nota pertama berhubung penyiaran tatacara ILS dan Prosedur Merapati ILS untuk Lapangan Terbang Seletar pada 1 Dis, 2018.

“Nota kedua, berkaitan isu penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura, termasuk had pelabuhan Johor Bahru yang baharu dan insiden baru-baru ini berhubung dengannya,” menurut kenyataan itu.

Isu-isu itu dibangkitkan selepas Singapura menyiarkan tatacara ILS dan ILS Aeronautical Information Publication (AIP) pada 1 Disember tanpa persetujuan Malaysia.

Republik itu juga mendakwa bahawa Malaysia baru-baru ini dikatakan mengambil langkah untuk memperluaskan had pelabuhan Johor Bharu melalui cara menceroboh Perairan Wilayah Singapura sekitar Tuas.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa had pelabuhan Johor Bharu yang baru berada dalam lingkungan perairan Malaysia.

Ia memang wajar dalam konteks hak Kerajaan Malaysia untuk menggariskan sebarang had pelabuhan dalam lingkungan perairan wilayahnya mengikut undang-undang negara Malaysia sendiri. Oleh itu, Kerajaan Malaysia menyangkal pandangan bahawa kapal-kapal kerajaan Malaysia telah menceroboh perairan wilayah Singapura di Tuas, kata Wisma Putra

Malaysia yakin bahawa kedua-dua negara mengakui dan menghargai hubungan dua hala yang baik dan kukuh kerana sentimen tersebut dizahirkan pada kali terakhir oleh Perdana Menteri kedua-dua negara semasa lawatan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad ke Singapura pada November lalu.

“Atas sebab ini, adalah penting untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan dan memarakkan ketegangan,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast