KUALA LUMPUR- Apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) mengumumkan kadar dan mekanisme baharu kutipan pinjaman pendidikannya, ramai yang naik hantu.
Bukan kerana tidak mahu membayar hutang seperti sangkaan kebanyakan orang (yang pastinya tidak mempunyai rekod pinjaman PTPTN kerana mereka tidak faham love-hate relationship dengan agensi tersebut) tetapi kerana kadar potongan yang dikenakan terlalu tinggi sehingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan atau sehingga melebihi RM1,200 sebulan.
Bagi peminjam engkar yang selama ini tidak pernah peduli untuk menunaikan tanggung jawab mereka untuk membayar hutang, kita mungkin boleh katakan “padan muka” apabila PTPTN berikrar untuk tidak akan melepaskan mereka.
Tetapi bagaimana nasib pembayar baik (a good paymaster) yang setiap bulan tidak pernah culas membayar hutang mengikut perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.
PTPTN pra- Mei 9, 2018 bukanlah sebuah agensi yang disayangi ramai, banyak isu yang tidak dapat mereka selesaikan sejak sekian lama terutama dari segi sistem yang tidak efisen.
Berapa ramai peminjam yang telah membuat bayaran tetapi dikenakan CCRIS kerana sistem PTPTN terlalu lambat membuat kemas kini?
Terpaksalah si peminjam yang sudah membuat pembayaran ini menyusahkan diri sendiri menghubungi pelbagai pegawai supaya akaunnya dikemaskini dan dia dibebaskan daripada CCRIS.
Cukup menyakitkan jiwa tetapi tidaklah sampai menyesakkan hati mengenang hari-hari yang bakal diharungi apabila terpaksa menambah komitmen pembayaran hutang bulanan.
Sebelum ini, PTPTN mengalu-alukan peminjam supaya datang berunding dengan mereka bagi mengatur kadar dan tempoh pembayaran bulanan mengikut kemampuan peminjam dan diikat dengan kontrak berkonsepkan ujrah.
Saya percaya ramai yang tertarik dengan tawaran tersebut tambahan pula selepas, PTPTN bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menyenaraihitam peminjam engkar dari ke luar negara. Tidak mahu disenaraihitam, maka bayarlah PTPTN anda!
Sebenarnya, mekanisme baharu yang diumumkan semalam, memberi tekanan kepada peminjam terutamanya yang berpendapatan sederhana kerana perlu membayar pinjaman di antara lapan sehingga 15 peratus daripada gaji bulanan atau di antara RM320 sehingga melebihi RM1,200 sebulan.
Sudahlah golongan ini, rakyat yang paling tidak beruntung kerana tidak miskin untuk layak menerima subsidi kerajaan dan tidak kaya sehingga boleh tidur di atas duit.
Sebagai contoh, seseorang yang berpendapatan RM5,000 sebulan, dia perlu membayar RM400 kepada PTPTN sahaja berbanding RM200 sebulan sebelum ini.
Itu belum ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan PERKESO dan dengan baki gaji yang semakin sedikit itu, bagaimana mahu menampung kehidupan seharian, anak, isteri, ibu bapa di kampung, membayar sewa rumah, kereta, tol, minyak, insurans kesihatan?
Sedangkan, dengan hanya membayar pinjaman PTPTN sebanyak RM200 sebulan pun sudah rasa peritnya menanti gaji bulan hadapan. Tidak tahu tang mana lagi mahu berjimat.
Dengan tambahan RM200 sebulan akibat mekanisme baharu itu mungkin dia terpaksa mengorbankan simpanan kecemasan kerana baki gaji bulanan pun sudah menghampiri angka kosong selepas ditolak komitmen dan perbelanjaan harian
Mungkin kerajaan baharu yang dibarisi ramai orang muda dan ditunjangi politikus-politikus kaya pengalaman boleh menggunakan kaedah kaji selidik dan membuat pertimbangan lebih rapi sebelum mengambil sebarang keputusan yang mampu membuatkan rakyat lebih sengsara.
Selama ini kami sudah cukup tertekan dengan kos sara hidup yang sangat tinggi tetapi tidak pernah merayu-rayu subsidi kerajaan, cukuplah sedikit empati dengan membuat keputusan yang lebih adil kepada semua pihak supaya kehidupan kami tidak lebih teruk berbanding sebelum ini.
Sebenarnya, tambah baik sistem PTPTN supaya peminjam seronok untuk membuat pembayaran apabila mereka nampak hasilnya sama seperti membuat pembayaran pinjaman di bank-bank.
Mungkin PTPTN patut belajar cara mengutip hutang daripada bank-bank yang efisen dan sistematik, bayar sikit-sikit pun habis juga berbanding bayar PTPTN tetapi selama-lamanya menanggung hutang. -MalaysiaGazette