Anwar Ibrahim
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah memberikan pertimbangan sewajarnya kepada bantahan peminjam terhadap pelaksanaan skim itu.

ALOR SETAR – Tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah satu langkah baik dengan mengambil kira keresahan peminjam.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah memberikan pertimbangan sewajarnya kepada bantahan peminjam terhadap pelaksanaan skim itu.

“Kita sambut baik penjelasan menteri itu mengambil kira bantahan dan keresahan banyak peminjam kerana dalam perkiraaan (skim) itu, bayaran (pinjaman) itu terlebih dari yang dulu,” katanya pada sidang media selepas menutup Konvensyen Kepimpinan PH Kedah – ‘Kerajaan Kedah: Cabaran dan Harapan’ di sini hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu Pengerusi PH Kedah merangkap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Hari ini melalui status dimuat naik dalam Twitter, Menteri Pendidikan itu berkata penangguhan itu dibuat sehingga pihaknya mengumpul pandangan dan cadangan daripada semua pemegang taruh.

Sementara itu Anwar turut mencadangkan negeri-negeri di bawah pimpinan PH yang lain untuk menganjurkan Konvensyen Kepimpinan PH seperti dilaksanakan di sini kerana ia dilihat sebagai suatu platform berkesan memperkukuh kerjasama antara parti-parti komponen dalam gabungan itu.

“Sebab itu saya cadangkan konvensyen ini dengan format yang sama dijalankan di negeri-negeri lain yang merupakan suatu permulaan yang baik,” katanya.

Konvensyen sehari itu dihadiri kira-kira 700 pemimpin keempat-empat parti komponen PH – Bersatu, PKR, Amanah dan DAP dari peringkat cabang dan bahagian yang berlangsung di Dewan Seri Mentaloon dekat sini.

Selain amanat melalui rakaman video oleh Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, konvensyen itu turut diisi dengan perbahasan perwakilan parti komponen serta respons 10 exco kerajaan negeri berkaitan portfolio masing-masing.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast