Dr Ismail Bakar
Dr. Ismail Bakar

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mengadakan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) baharu kepada kesemua penjawat awam.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar, KPI tersebut akan menilai keseluruhan prestasi penjawat awam bermula dari menteri sehingga kakitangan biasa.

“Kita akan tengok 360 darjah punya prestasi.

“Semuanya kita akan tengok tetapi buat masa sekarang kami masih belum membuat sebarang keputusan.

“Cuma kami sedang meneroka kemungkinan untuk mengadakan KPI baharu kepada penjawat-penjawat awam,” katanya kepada pemberita di luar Program Eksekutif Khas Anggota Pentabiran Kerajaan di sini hari ini.

Program tersebut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Timbalannya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri dan timbalan menteri, setiausaha sulit, setiausaha politik, setiausaha akhbar serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Yang turut hadir bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Ismail bagaimanapun enggan mengulas sama ada pelaksanaan KPI baharu tersebut turut merangkumi persepsi rakyat terhadap penjawat awam.

MGF09122018_PM EKSEKUTIF KHAS07
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bercakap kepada media pada Program Eksekutif Khas Anggota Pentadbiran Kerajaan Malaysia di Hotel Marriott, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK

Dalam pada itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat di program tersebut meminta semua jemaah menteri dan timbalan menteri memperkukuhkan kepercayaan kepada anggota perkhidmatan awam supaya boleh bekerja sebagai satu pasukan yang hebat.

“Sebahagian besar jemaah menteri adalah muka-muka baharu yang perlu memahami perjalanan dan susun atur pentadbiran kerajaan maka PM berpesan supaya jemaah menteri dan timbalan memperkukuhkan kepercayaan kepada anggota perkhidmatan awam dan bekerja sebagai satu pasukan.

“Kami perlu menjawab kepada rakyat dan penting supaya kami bekerjasama rapat dengan penjawat awam,” katanya.

MGF09122018_PM EKSEKUTIF KHAS09
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah bercakap kepada media pada Program Eksekutif Khas Anggota Pentadbiran Kerajaan Malaysia di Hotel Marriott, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK

Perkara tersebut turut diulang oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang mengatakan Perdana Menteri menggesa supaya jemaah menteri dan penjawat awam sentiasa bekerja sebagai satu pasukan kukuh yang mempunyai sistem serta kaedah yang mampu menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.-MalaysiaGazette