KUALA LUMPUR – Ada yang sanggup beratur sejak pukul 9 malam tadi, ternyata keterujaan peminat bola sepak tanah air untuk menyaksikan perlawan akhir pertama Malaysia menentang Vietnam Selasa ini tidak dapat dibendung lagi.
Tinjauan MalaysiaGazette pagi ini mendapati perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sesak dengan para peminat bola sepak yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama pasukan Harimau Malaya yang akan berentap merebut Piala Suzuki AFF 2018.
Bagi mereka tolak tepi suasana yang tidak selesa, panas dan rasa mengantuk gara-gara menunggu kaunter tiket dibuka, asalkanhasrat untuk membeli salah satu daripada 40,000 tiket yang dijual hari ini dapat ditunaikan.
Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menasihatkan para penyokong Harimau Malaya yang bercadang hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, pagi ini untuk membeli tiket supaya tidak berbuat demikian bagi mengelak kekecewaan kerana tiket habis.
Ini kerana, katanya, berdasarkan keadaan terkini di Stadium Nasional, barisan penyokong Harima Malaya kini sudah mengelilingi satu stadium dan dijangkakan ia tidak dapat lagi menampung jumlah tiket yang akan dijual di kaunter tiket Pintu A dan Pintu E.
“Justeru, FAM sekali lagi berharap tiada lagi tambahan penyokong yang akan hadir ke Stadium Nasional, pagi ini kerana ia hanya akan menyebabkan anda akan pulang kecewa.
“FAM sangat menghargai sokongan yang ingin diberikan anda kepada skuad Harimau Malaya pada aksi Final 1 ini, namun kami tidak dapat memenuhi kehendak semua penyokong dan hanya dapat menjual maksimum 80,000 keping tiket bagi menyaksikan perlawanan ini.
“Bagi penyokong yang sedang beratur di Stadium Nasional ketika ini, saya sedang berbincang dengan pihak polis untuk penyediaan bantuan keselamatan apabila proses penjualan tiket bermula nanti supaya tidak berlaku kekecohan atau sebarang kejadian yang tidak diingini.
“FAM juga prihatin dengan keadaan penyokong yang telah menunggu cukup lama sejak malam tadi dan akan membuka kaunter jualan tiket lebih awal sejurus pihak polis dan petugas kaunter sudah bersedia nanti,” katanya.