PUTRAJAYA – Organisasi kerajaan perlu lebih tersusun dan sistematik jika mahu berjaya.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Eropah berjaya menguasai dunia kerana mereka mempunyai sistem dan kaedah yang tersusun.
Ini jauh lebih daripada negara-negara yang besar tetapi tidak mempunyai organisasi yang tersusun.
“Saya memberi penekanan kepada kepentingan sesebuah organisasi untuk menjadi lebih tersusun dan mengikut kaedah atau sistem supaya kita boleh berjaya di dalam apa jua bidang.
“Saya beri contoh kepada mereka yang orang Eropah berjaya menguasai dunia kerana mereka teratur dan mempunyai organisasi tersusun.
“Saya cuba beri penjelasan (tentang kepentingan pengurusan organisasi) dan ini bukan mengenai menteri sahaja tetapi kepada kesemua penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Eksekutif Khas Anggota Pentadbiran Kerajaan Malaysia di sini hari ini.
Dr. Mahathir meluangkan masa kira-kira tiga jam untuk menyampaikan amanat dan mendengar taklimat tertutup dalam program yang berlangsung selama sehari itu.
Program turut dihadiri menteri-menteri Kabinet, timbalan menteri, setiausaha politik, setiausaha akhbar serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.-MalaysiaGazette