KUALA LUMPUR – Stesen LRT Bukit Jalil akan dibuka sehingga jam 1 pagi bagi membolehkan peminat-peminat bola sepak menggunakan tren untuk menonton saingan pusingan pertama final Piala AFF Suzuki di antara pasukan Harimau Malaya menentang Vietnam, Selasa ini.
RapidKL dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat permohonan rasmi supaya perkhidmatan LRT dan MRT dilanjutkan sempena perlawanan tersebut.
Ini adalah bagi mengelakkan kesesakan terutama jangkaan lebih 80,000 peminat bola sepak akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
“Stesen LRT Bukit Jalil akan dibuka sehingga 1 pagi untuk membenarkan para penumpang memasuki stesen dan meneruskan perjalanan mereka ke stesen-stesen LRT dan MRT yang lain.
“Walaupun ditutup, para penumpang boleh keluar di stesen-stesen berkenaan termasuk bertukar laluan di Stesen Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Pasar Seni dan Maluri untuk bertukar laluan LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Sungai Buloh –Kajang,” katanya.
Sehingga semalam, sejumlah 40,000 tiket yang dijual secara atas talian untuk perlawanan berkenaan sudah habis terjual; sekaligus menguatkan jangkaan bahawa jumlah kehadiran penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil akan mengatasi kehadiran pada dua perlawanan lepas ketika menentang Myanmar di peringkat kumpulan dan Thailand pada saingan pusingan pertama peringkat separuh akhir, yang mencatat kehadiran 87,411 orang penonton.-MalaysiaGazette