Setiausaha Agung DAP Pusat, Lim Guan Eng dan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo bergambar bersama wakil-wakil parti di bawah Pakatan Harapan yang hadir pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2018 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2018.

PETALING JAYA – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melahirkan rasa kesal dan keliru mengapa ada lagi segelintir pihak masih mahu mengumpan rakyat dengan mempergunakan isu perkauman dan agama untuk survival politik.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, isu perkauman ini seringkali dimainkan segelintir ahli politik terdesak khasnya ketika beliau masih lagi memimpin Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri selama 10 tahun.

“Ini bukan baharu tetapi saya sangat pelik sekali apabila isu seperti agama dan bangsa dimainkan. Api kebencian perkauman di laungkan. Pada hemat saya mengapa selalu sangat cuba membawa isu-isu seperti perkauman untuk lawan kita?

“Hakikatnya, untuk lawan kita sebenarnya perlukan fakta dan angka bukan isu-isu seperti ini. Rakyat juga mahukan fakta dan angka, bukan berterusan mainkan isu-isu seperti ini. Kita dituduh anti Islam, anti Melayu.

“Saya tanya anda sekelian, bukankah Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dalam kalangan orang Melayu? Bukankah Timbalan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu dalam kalangan Islam? Jadi mengapa rival kita usik isu perkauman?

“Saya telah mendapat maklumbalas dari beberapa orang pihak termasuk dalam kalangan pimpinan Melayu, hakikatknya mereka juga bersetuju kepentingan dan hak orang Melayu dan Islam tidak terusik. Isu-isu ini hanya dimainkan oleh segelintir pihak untuk kepentingan politik.

“Dulu ketika saya masih menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, hampir setiap minggu pembangkang akan membuat demonstrasi di luar pejabat saya di Komtar dan mainkan isu-isu perkauman. Tetapi ironinya, rakyat di situ termasuk yang Melayu masih lagi mengundi dan memberi kemenangan yang luar biasa kepada kita sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada berucap di hadapan perwakilan DAP Selangor pada Konvensyen Biasa Negeri 2018 di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan agenda mempertahankan hak Melayu dan Islam semalam bukan satu keperluan.

“Mana wujudnya perkauman di sini? Apa logiknya untuk membuat satu perhimpunan besar-besaran seperti semalam untuk membantah ICERD apabila kerajaan sudah membuat keputusan untuk menolak ratifikasi itu? Apa sebenarnya motif mereka ini?,” soalnya.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita di luar, Guan Eng membidas tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengeluarkan kenyataan ‘go to hell United Nation’ ketika perhimpunan semalam.

“Saya sebenarnya terkejut dengan kenyataan seperti itu. Sebenarnya sudah melampau. Jika benar, kita mahu keluar Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), sejarah kerana kita adalah negara pertama yang berbuat demikian sedangkan Korea Utara pun masih ahli PBB.

“Apakah sentimen melampau yang perlu dimainkan sebegini sekali? Saya pun tidak faham,” ujarnya.

Tajuddin mengutuk PBB yang didakwanya cuba mencabuli kemerdekaan negara ini.

“Go to hell with United Nation (pergi jahanam PBB)!” katanya.

Kata Tajuddin pihak luar mahu memaksa Malaysia menerima ICERD agar mereka boleh mengenakan syarat-syarat tertentu bagi mengawal rakyat di negara ini.

“Mereka nak kuasai sosisal kita, budaya kita, minda kita dan politik kita,” dakwanya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast