Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Dialog Mahasiswa di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 10 DISEMBER 2018

SERDANG – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mempunyai tempoh tiga bulan untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sabarlah… Dia bagi tiga bulan. Saya baru menang pilihan raya. Saya masuk bulan sudah (lalu). Bagilah (masa) sekejap,” katanya kepada pemberita selepas Dialog bersama Datuk Seri Anwar di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober lalu dan mengangkat sumpah tiga hari selepas itu.

Beliau adalah antara 13 ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Selain itu, Ketua Menteri Sabah yang juga ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu yang juga ahli Parlimen Tambun juga juga belum mengisytiharkan harta. 

Selain Anwar seramai tujuh anggota parlimen PKR masih belum bertindak demikian adalah, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar), P.Prabakaran (Batu), Datuk Seri Dr Santhara (Segamat), Awang Husaini Sahari (Putatan), Ali Biju (Saratok) dan Dr Michael Teo Yu Keng (Miri).

Tiga anggota parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula selain Ahmad Faisal ialah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Bagi Parti Warisan Sabah, selain Mohd Shafie, ialah Datuk Rozman Isli (Labuan), dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Presiden UPKO).

Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad pula hari ini berkata kerajaan tidak menetapkan sebarang tempoh akhir bagi anggota Parlimen mengisytiharkan harta mereka.

Jika tempoh tiga bulan yang dimaksudkan oleh Anwar bermula daripada beliau mengangkat sumpah, maka tarikh dijangkakan beliau akan membuat pengisytiharan harta adalah 15 Januari akan datang. – MalaysiaGazette