Heng Swee Keat foto Straits Times

SINGAPURA –  Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat  yang juga bakal Perdana Menteri republik itu telah melahirkan harapan agar kedua-dua negara dapat membincangkan isu maritim secara ‘konstruktif dan aman selaras dengan undang-undang antarabangsa.’

“Ini akan dapat memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam entri terbaru di akaun Facebooknya.

Heng yang membuat ulasan pertama berhubung isu itu menyatakan: “Malaysia adalah jiran terdekat kita. Kita mempunyai hubungan rapat antara rakyat dan rakyat. Singapura meminta kerjasama yang rapat dengan Malaysia.”

Dalam entri itu juga, beliau menggesa Malaysia menghentikan dakwaan pencerobohan kapal-kapal kerajaan Malaysia di perairan wilayah Singapura, dengan mengatakan ia adalah melanggar kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa.”

“Ini adalah perkara serius demi kepentingan negara. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi melindungi kedaulatan dan wilayah Singapura,” katanya.

Pada 7 Dis, Kementerian Luar Singapura berkata negara itu tidak bersetuju dengan cadangan Malaysia bagi kedua-dua negara menghentikan penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata Singapura “bersedia untuk membincangkan isu ini dengan Malaysia secara konstruktif dalam semangat memelihara hubungan dua hala kita yang penting.”

Dalam respons pada 8 Dis, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pertikaian antara Malaysia dan Singapura berhubung sempadan maritim akan ditangani berlandaskan peruntukan undang-undang dan hak negara.

“Banyak pihak sering membuat dakwaan mengenai sempadan masing-masing sehingga mencetuskan pelbagai pertikaian, jadi, kita akan selesaikan pertikaian ini berdasarkan peruntukan undang-undang dan hak kita,” katanya kepada pemberita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast