Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Besar Johor, Osman Sapian beramah mesra bersama ahli persatuan pada Majlis Hi-Tea Muafakat Johor anjuran Persatuan Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Anak-anak Johor yang berada di perantauan diminta supaya memberi sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya usaha memajukan negeri itu dapat dilakukan dengan lebih sempurna.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, banyak usaha perlu dibuat untuk meletakkan Johor kehadapan dan pelbagai langkah proaktif diambil tanpa henti.

“Ramai anak Johor yang berada diperantauan mempunyai banyak pengalaman dan kelayakan.

“Mereka nak impak. Jadi kalau idea datang di sini mereka mungkin membantu dengan lebih besar dan dapat menjadikan masa depan Johor yang lebih cerah dan Johor lebih maju,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Muafakat Johor 2018 di sini hari ini.

Dalam pada itu Muhyiddin yang juga penasihat Persatuan Anak Johor berkata, rakyat negeri Johor kini semakin menerima perubahan yang telah berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila mereka menunjukkan sokongan terhadap kerajaan negeri pada hari ini.

Katanya, meskipun banyak perkara lagi yang boleh dibuat untuk membantu menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang cemerlang, gerak kerja berlarutan serta sokongan terhadap apa sahaja program yang dibuat mampu menjadikan Johor sebagai sebuah negeri lebih maju di selatan tanah air.

“Sebab itu peranan Persatuan Anak Johor ini penting kerana ia boleh merapatkan hubungan, meningkatkan semangat dan perpaduan yang cukup baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette