Naib Presiden Orang dan Budaya Lynas, Mimi Afan Afza berhimpun bagi menghantar memorandum bantahan di luar Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Rintihan, kebimbangan dan keluhan warga Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng, Kuantan didakwa enggan didengari oleh pemimpin politik termasuk menteri, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun sebelum ini begitu lantang dan berkobar-kobar mahu menjadi suara dan wakil kepada warga Kuantan sebelum pilihan raya, namun selepas menang dan berkuasa, masing-masing seolah menjarakkan diri daripada menemui kumpulan pekerja syarikat Lynas ini.

Menurut Naib Presiden Masyarakat dan Kebudayaan Lynas, Mimi Afzan Afza, beliau sangat tertekan dengan apa yang sedang berlaku dengan syarikat nadir bumi yang disifatkan seolah-olah menjadi mangsa ‘buli’.

“Saya rasa sangat sedih dan tertekan. Bayangkan kami terpaksa berjuang secara sendirian. Kami terpaksa datang ke jalanan kerana terdesak untuk suara kami didengari apatah lagi wakil rakyat kami sendiri.

“Sebelum ini berpucuk-pucuk surat kami hantar, tiada maklum balas. Kami cuba berhubung dengan cara lain pun tiada respon. Bukan sahaja wakil rakyat malah Menteri sendiri enggan layan. Nasib baik Ahli Dewan Undangan (ADUN) Beserah telah membantu kami.

“Mengapa begini? Anda kata anda wakili kami, kami juga anak tempatan, lahir di sini. Anak keluarga semuanya di sini. Mengapa enggan dengar luahan kami? Mengapa tidak kisah langsung dengan nasib kami, tolonglah bantu kami.

“Lynas mungkin syarikat Australia, mereka mempunyai pegangan dan kedudukan kewangan yang baik seandianya di tutup, mereka boleh balik. Tetapi apakah yang akan terjadi dengan nasib kami di sini? Jumlah kami warga tempatan bukan sedikit. Apa nasib keluarga kami? Kami bukan Australia, kami adalah Lynas Malaysia.

“Saya pernah terfikir dan begitu teruja ketika mengundi kerajaan baharu, mahukan perubahan kerana apa yang berlaku kepada kami bukan sehari dua sebaliknya sejak 2011. Apa yang sedih sekali, kami seolah-olah tidak dipedulikan,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar Parlimen hari ini.

Seramai 130 kakitangan Lynas tiba dengan menaiki tiga  buah bas dari Kuantan malam tadi dan tiba awal pagi sebelum berarak untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Memorandum itu juga diserahkan kepada Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atas kapasiti sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga merupakan Menteri Luar.

Kata Mimi, beliau hanya berharap pihak berkepentingan akan mempertimbangkan nasib pekerja Lynas sebelum membuat apa-apa keputusan drastik terutamanya dalam memperbarui lesen syarikatnya.

“Tolong layan kami dengan adil, saya tidak faham walaupun selepas mendapat perakuan saintifik sebanyak empat kali oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan Jawatankuasa Kajian Semula tetapi kami terus dipersoalkan.

“Adakah kerana kami syarikat yang baharu? Lynas telah patuhi segala kehendak perundangan malah terbukti risiko operasi kami amat rendah tapi berterusan mempersoalkan ianya.

“Cakap dengan kami, dengan pekerja yang telah bekerja dengan begitu lama. Mari kita berkerja bersama-sama, Lynas dan kerajaan bagi pembangunan yang lebih mampan,” katanya yang juga telah bersama Lynas sejak 10 tahun lepas.

MGF11122018_PEKERJA LYNAS HANTAR MEMORANDUM_03
Pekerja-pekerja LYNAS hadir berhimpun bagi menghantar memorandum bantahan di luar Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 DISEMBER 2018.

Sementara itu, rata-rata kakitangan Lynas dengan nada sayu memohon kepada semua pihak untuk menyelamatkan periuk nasi mereka seandainya operasi syarikat itu dihentikan pada bila-bila masa.

Minggu lalu, Lynas dlaporkan secara sukarela akan berusaha melaksanakan cadangan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Materials Plant (LAMP) mengenai operasinya di Gebeng.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze dilaporkan berkata, ia termasuk saranan mengeksport sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) dari Malaysia, jika lokasi kemudahan pusat pelupusan kekal (PDF) gagal dikenal pasti atau diluluskan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast