Gambar hiasan

IPOH –  Mayat kesemua mangsa yang maut dalam kebakaran di kawasan perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru di sini semalam dijangka tidak dapat dikebumikan dalam masa terdekat memandangkan masih ada prosedur yang perlu dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak A. Sivanesan berkata antaranya ialah proses pengecaman mayat termasuk melalui rekod pergigian.

“Setakat ini tiga mangsa sudah selesai dibedah siasat manakala tiga lagi akan dibedah siasat secepat mungkin dan selepas selesai (bedah siasat) kesemua mangsa akan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.

Dipercayai mereka yang maut ialah P. Thiagarajun, 40 yang dipercayai pemilik premis dan lima pekerja sambilan iaitu Mohd Nor Aiman Abdul Rahman, 16; Mohamad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohd Ikhmal Izzudin Mohd Kamari, 16; Ahmad Faizal Amiruddin, 16 serta Mohamad Azhar Shah Rosli, 19 tahun.

Sivanesan berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri masih berusaha mengenal pasti punca kebakaran seunit rumah kedai dua tingkat itu yang berlaku kira-kira 1.54 tengah hari semalam.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahaya Abd Rahman dilaporkan berkata kesemua mangsa ditemui dalam keadaan rentung dan menyukarkan proses pengecaman.

Katanya kes itu disiasat mengikut 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

Berdasarkan papan tanda di premis tersebut, ia menjalankan perniagaan pengatur cara majlis serta membekalkan peralatan majlis seperti khemah, siar raya dan lampu. – MalaysiaGazette