Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak selesai membayar wang jaminan berjumlah RM500,000 bagi pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Najib yang ditemani anak lelakinya, Mohd Norashman Najib kelihatan tenang ketika keluar dari perkarangan kompleks mahkamah pada pukul 12.10 tengah hari.

Dengan bayaran jaminan terbaharu itu, jumlah wang ikat jamin yang telah dibayar oleh bekas Perdana Menteri itu berjumlah RM6 juta.

Najib bagaimanapun enggan mengulas sebarang pertanyaan media yang menunggu beliau sejak 8 pagi tadi.

“Peguam saya sudah buat kenyataan, katanya sambil meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Najib didakwa menggunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dengan cara mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Dalam pada itu, melalui hantaran terbaharu di Facebook, Najib menjelaskan bahawa pertuduhan ke atas dirinya berbeza dengan apa yang dilaporkan sebelum ini.

“Pagi ini, saya didakwa kerana dituduh telah mengarahkan laporan audit 1MDB dipinda SEBELUM laporan itu dimuktamadkan.

“Dakwaan ini jauh berbeza dengan laporan-laporan media dari usaha propaganda PH bahawa laporan audit 1MDB yang SUDAH dimuktamadkan (ataupun final report) telah ditukar,” katanya.

Tambah Najib, beliau menolak sekeras-kerasnya tuduhan-tuduhan ke atas dakwaan itu, dan akan membersihkan namanya di mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast