Ruhanie Ahmad
Panel Pemikir Kongres Belia Nasional (KBN), Datuk Dr. Ruhanie Ahmad bercakap pada bual bicara konflik perpaduan negara: Ancaman kepada keselamatan negara di Wisma MPM-Bina Daulah, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kebangkitan perjuangan politik identiti dan demokrasi liberal di Malaysia hanya akan mengancam perpaduan negara dan keselamatan nasional sekiranya ciri-ciri kepimpinan yang baik tidak ditonjolkan oleh pemimpin negara hari ini.

Ahli Pemikir Kongres Belia Nasional (KBN), Datuk Dr Ruhanie Ahmad berkata, pengurusan keselamatan nasional perlu lebih fokus terhadap masalah jati diri nasional, keselamatan identiti, maruah, harga diri dan digniti rakyatnya.

“Perjuangan politik identiti dan pertembunganya dengan tuntutan politik demokrasi liberal, memerlukan kepimpinan tertinggi Malaysia yang tegas, mempunyai budaya strategik mengenai keselamatan, dan bijaksana melaksanakan tindakan keselamatan,” katanya.

Ruhanie berkata demikian ketika berucap pada persidangan meja bulat mengenai Konflik Perpaduan Negara:Ancaman kepada Keselamatan Negara anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini.

Ruhanie yang juga bekas ahli Parlimen Parit Sulong berkata, meskipun kerajaan hari ini menghormati kebebasan bersuara, kebebasan media dan kebebasan bertindak namun mereka bertindak tegas ke atas sesiapa yang menyalahgunakan kebebasan itu sekiranya memprovokasi sensitiviti kaum, menjejaskan ketenteraman awam, menimbulkan huru-hara dan mengancam keselamatan nasional.

Perkara itu katanya dapat dilihat dalam konteks ketegangan yang berlaku ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield dan gerakan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) oleh NGO tertentu baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan kaedah proaktif untuk mempertahankan keselamatan, identiti, politik, rejim dan nasional menerusi startegi khusus.

Jelasnya, strategi itu terkandung dalam ucapan beliau pada 29 November, 3 8 dan 9 Desember lalu berkaitan dengan insiden kuil di Seafield, perhimpunan anti-ICERD; disiplin menteri PH serta kakitangan awam dan kontrak sosial.

“Perjuangan politik identiti di Malaysia hari ini sudah mencakupi perjuangan mempertahankan maruah, harga diri dan digniti. Bukan untuk menuntut atau melindungi hak dan identiti dalam Perlembagaan Persekutuan.

“PH hadapi dilema keselamatan identiti, keselamatan politik, keselamatan rejim dan keselamatan nasional.

“Pejuang demokrasi liberal dalam PH tuntut kesamarataan total. Pejuang politik identiti PH bimbang maruah, harga diri, digniti dan jatidiri mereka terhakis.

“Pejuang politik identiti dalam pembangkang dan NGO Melayu-Islam-Bumiputera bimbang maruah, harga diri, digniti dan jatidiri mereka terhapus.

“Pendukung politik identiti di luar parti mendesak mereka juga diiktiraf sama seperti warganegara yang lain,” tegasnya. – MalaysiaGazette