Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap sambil diiringi pimpinan tertinggi UMNO pada sidang media khas UMNO mengenai UMNO Sabah di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu mendapati terdapat tindakan daripada beberapa individu yang menjadi dalang dalam menarik ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya keluar parti.

Katanya, tindakan itu tidak dapat diduga oleh pucuk pimpinan daripada awal.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut nama mana-mana individu yang dikenalpasti membuat perkara itu kepada parti.

“Daripada apa yang kami perhatikan kita dapati bahawa ada tindakan-tindakan yang dilakukan oleh beberapa individu namun kita tidak dapat menelah daripada awal apakah tindakan-tindakan terakhir yang akan dilakukan oleh mereka.

“Tetapi kita harus sedar, oleh kerana politik bukan sesuatu yang statik atau beku, sebarang kemungkinan akan berlaku,” katanya dalam sidang media khas di Menara Dato’ Onn hari ini.

Menurut laporan Malaysiakini hari ini yang memetik sumber menyebut bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein adalah dalang di sebalik tindakan beberapa wakil rakyat parti itu yang berpaling tadah.

Laporan itu dibuat mengulas mengenai tweet bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di laman sosial Twitter ketika mengulas tindakan puluhan pemimpin dan wakil rakyat yang meninggalkan parti itu.

Khairy menjawab pertanyaan seorang pengguna Twitter mengapa beliau tidak berusaha menghalang tindakan mereka keluar parti.

Khairy menjawab “Dah cuba tapi ada puak ‘bangsawan’ yang mendorong kepada tindakan keluar beramai-ramai,” kata Khairy.

Dalam pada itu, beberapa lagi ahli Parlimen BN akan bertindak keluar parti tidak lama lagi.

Juga memetik sumber, laporan itu menyebut seorang bekas menteri ada memberitahu seorang Ahli Parlimen UMNO dalam satu mesyuarat tertutup bahawa mereka akan berada di Dewan Rakyat sebagai wakil rakyat bebas terlebih dulu sebelum akhirnya menyertai PPBM. -MalaysiaGazette