Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media selepas melancarkan Program "Happy Guest, Caring Host" Service Citizen dan Family Friendly" di KLIA2, Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2018

SEPANG – Kementerian Pengangkutan akan campur tangan dalam tindakan saman yang dikenakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ke atas AsiaAsia Berhad dan AsiaAsia X.

Menterinya, Anthony Loke berkata, beliau sendiri akan menawarkan diri untuk bersama-sama dalam rundingan antara pengendali lapangan terbang dan AsiaAsia Group Berhad itu.

Beliau yakin kemelut antara MAHB dan syarikat penerbangan tambang murah itu dapat diselesaikan dengan cepat dan dilakukan secara baik

“Kami tahu tentang perkara ini dan apa pun yang ditimbulkan, saya akan menjadi orang tengah, dengan harapan isu ini dapat diselesaikan secara harmoni,” katanya ketika ditemui di sini selepas selepas melancarkan Perkhidmatan Kebudayaan dan Infrastruktur Mesra Keluarga dan Warga Emas di Tingkat 3A, Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Selasa lalu, AirAsia dan AirAsia X memaklumkan telah disaman sebanyak RM36.11 juta oleh MAHB kerana kegagalan syarikat penerbangan tambang murah itu melunaskan cukai lapangan terbang.

Dalam notis kepada Bursa Malaysia, AirAsia berkata, anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap unit milik penuh syarikat AirAsia Bhd (AAB) bagi menuntut caj perkhidmatan penumpang (PSC) berjumlah RM9.4 juta yang belum dibayar.

Manakala AirAsia X dalam notis berasingan berkata, syarikat bersekutu AirAsia itu juga menerima writ saman sebanyak RM26.72 juta oleh MASSB untuk tunggakan cukai PSC.

AirAsia dan AirAsia X berkata, pihaknya akan mempertahankan prosiding ini kerana tuntutan tersebut dibuat tanpa alasan dan tidak munasabah.

Ini kerana, kata AirAsia, PSC dibayar oleh penumpang yang berlepas dan dikutip oleh syarikat penerbangan setelah pembelian tiket. Caj itu kemudian diserahkan kepada MAHB selepas proses penerbangan selesai.

PSC ditetapkan sebanyak RM73 bagi setiap penumpang mulai 1 Januari lalu dan kedua-dua syarikat penerbangan itu hanya mengutip sebanyak RM50 bagi setiap penumpang.

Tetapi, MAHB kini menuntut syarikat-syarikat penerbangan ini membayar perbezaan sebanyak RM23 bagi setiap penumpang mulai bulan Julai.

Sedangkan AirAsia dan AirAsia X tidak mengutip jumlah itu dan menolak untuk membuat kutipan itu.

Namun, MASSB menegaskan klia2 perlu mengenakan kadar yang sama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tetapi pada AirAsia pula klia2 adalah lapangan terbang kos rendah dan caj yang dikenakan harus mencerminkan tahap perkhidmatan yang disediakan. – MalaysiaGazette