Tan Sri Mohd Isa Samad

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini berhadapan 10 pertuduhan melibatkan satu kesalahan pecah amanah bernilai RM160 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Isa, 69, turut menghadapi sembilan pertuduhan bagi kesalahan menerima rasuah melibatkan RM3.09 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Timbalan Pendakwaraya Datuk Umar Saifuddin Jaafar mencadangkan Isa dikenakan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin.

Pasport perjalanan antarabangsa beliau juga diminta diserahkan kepada pihak mahkamah.

Isa didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu telah ditahan dan disiasat oleh SPRM selama lima hari pada Ogos lalu berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching dan London.

Pembelian dua buah hotel tersebut disiasat SPRM berikutan harga melebihi harga asal sehingga menyebabkan FIC mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel di Kuching pada harga RM160 juta (lebih RM50 juta dari harga sebenar) manakala hotel di Kensington, London, pada harga £60 juta (kira-kira RM317 juta) pada 16 Disember 2014. – MalaysiaGazette