Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima sebarang rayuan yang difailkan di Mahkamah Perkutuan mengenai keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada akhir bulan lalu.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, berikutan tamat tempoh rayuan semalam, pihaknya akan mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan seperti yang ditentukan oleh suruhanjaya tersebut mulai 15 Disember 2018.

Ia selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, katanya

“Sehingga tamat tempoh rayuan pada 14 Disember 2018 sepertimana yang ditetapkan oleh Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya, tiada sebarang rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan atau dimaklumkan kepada SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivarraajh terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan penyandang kerusi itu.

Menurut Azhar, SPR juga telah menerima Perakuan Mahkamah di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang telah mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang diadakan pada 9 Mei 2018 adalah terbatal.

Tambah beliau, pemakluman secara rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada hari Isnin ini.

“SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai perlaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat tersebut akan dimaklumkan nanti oleh pihak SPR, katanya. – MalaysiaGazette