UMNO perlu membuktikan kepada rakyat yang sedang menilai, bahawa parti itu berani bertindak bukan sekadar menyerang seterunya. - Md Jais Sarday
Md. Jais Sarday

KUALA LUMPUR – Bukan disabotaj namun sebaliknya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuktikan dirinya gagal mengemudi parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Kluang berkata, ia terbukti menerusi program jelajah Zahid ke seluruh negeri sebelum ini yang didakwanya sama sekali tidak bercakap tentang perancangan dan hala tuju parti itu untuk terus ke hadapan sebagai pembangkang yang kuat.

Sebaliknya, menurut Datuk Md Jais Sarday, Zahid hanya mempertahankan dirinya terhadap semua pertuduhan mahkamah yang terpalit kepadanya, isu yang ahli akar umbi tidak mahu dengar untuk dicanang.

Apa yang diinginkan akar umbi adalah tindakan dan pergerakan Presiden yang seiring dengan kata-katanya semasa berkempen semasa pemilihan parti, menjadikan UMNO sebuah pembangkang yang kuat selain mengukuhkan kewangan.

“Pertama apa yang terjadi ini di mana kenyataan-kenyataan daripada UMNO Sabah sebelum ini yang keluar parti, faktor nombor 10 (point 10) dan kenyataan yang keluar semalam juga (Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor), mereka semua ini tidak yakin dengan kepimpnan parti kerana Presiden parti tidak ada hala tuju yang jelas.

“Bila tidak ada hala tuju jelas macam tidak buat apa-apa, sebab saya tahu pergerakan di Sabah. Lawatan Presiden di semua negeri hanya lebih kepada menjelaskan pertuduhan terhadap dirinya, saya ikut di semua negeri. Mengatakan seolah-olah semua itu pertuduhan politik.

“Orang nak dengar tentang hala tujunya kita ada ahli Parlimen, ada wakil rakyat… Jadi nak buat apa ni?,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau turut menyifatkan Zahid sebagai satu-satunya Presiden yang tidak mempunyai perasaan, apabila nekad mengeluarkan kenyataan menyeru ahli UMNO agar tidak panik dengan perkembangan mutakhir ini apabila ramai Ketua Bahagian, Ahli Parlimen meninggalkan parti itu.

Padahal, wajar untuk ahli di semua peringkat beras cemas dan bimbang dengan suasana ini kerana ia bakal membawa gelombang seterusnya, dengan ramai lagi bakal mengikut jejak langkah Ketua-ketua mereka untuk ‘tidak setia’.

“Kenyataan dia akar umbi jangan panik dia kata, dia ni bagi saya Presiden tidak ada perasaan. Siapa tak panik walaupun di Sabah Ketua Bahagian sebahagian besar keluar, bila ketua pergi walaupun tidak semua sebahagian besar akan ikut,” tambah Jais.

Sehubungan itu beliau yang konsisten dengan pendiriannya sebelum ini menegaskan sekali lagi, jalan terbaik untuk UMNO adalah Zahid sendiri mengundurkan diri.

Bukan hanya memberi manfaat kepada parti malah tambah Jais Zahid sendiri tidak akan menerima malu jika ahli menerusi Perhimpunan Agung Khas Umno (EGM) sebulat suara menolaknya.

“Urusan parti akan lebih mudah kalau dia berundur jadi orang. Kalau diadakan EGM mesyuarat agung khas utk menentukan kedudkan presiden nanti akan ada bercelaru parti sebab ada kempen gerakan dan sebagainya.

“Jadi dan kalau ditakdirkan pada waktu itu ahli yang menentukan dia patut berundur, itu adalah memalukan,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan semula seperti yang dicadangkan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, cara itu pada Jais hanya akan memburukkan parti dengan suasana kempen untuk diri sendiri termasuklah perebutan kuasa.

“Dalam keadaan sekarang kalau diadakan pemilihan semula akan menambahkan lagi ‘politiking’ yang tidak berkesudahan, akan ada orang berkempen, parti berpusing pasal siapa nak menang dan siapa nak jadi Presiden sahaja,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast