Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran

KUALA LUMPUR – Kira-kira separuh daripada mereka yang kehilangan pekerjaan di Semenanjung tahun ini adalah pekerja di Lembah Klang, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Beliau berkata perubahan dalam industri dan kadar pasaran pekerjaan yang pesat adalah antara penyumbang utama kira-kira 5,902 atau 27.4 peratus pekerja di Selangor dan 4,767 atau 22.1 peratus pekerja di Kuala Lumpur kehilangan pekerjaan.

“Jumlah ini diikuti oleh Johor (2,536 atau 11.8 peratus) dan Pulau Pinang (1,328 atau 6.2 peratus) pekerja. Ada banyak faktor yang menyebabkan pemberhentian pekerja dan sesetengah daripadanya hanya disebabkan oleh kitaran kerja,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau juga memberitahu bahawa dari 1 Januari hingga 7 Disember tahun ini, kira-kira 21,532 orang kehilangan pekerjaan di seluruh negara.

“Sejumlah besar daripada 7,755 pekerja yang kehilangan kerja adalah mereka dari tiga kategori profesion teratas yang bergaji tinggi iaitu pengurus, profesional dan juruteknik dan profesional bersekutu yang memerlukan diploma dan ijazah untuk kelayakan diterima bekerja.

“Ketiga-tiga kategori ini terhad dan mereka juga perlu bersaing dengan graduan baharu,” katanya.

Kulasegaran juga menjelaskan mengenai usaha yang dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usaha untuk membantu mereka yang diberhentikan kerja kembali ke tenaga kerja.

“Sehingga 7 Disember, Bahagian Perkhidmatan Tenaga Kerja PERKESO telah berjaya membantu 6,292 orang kembali bekerja, dalam pelbagai pekerjaan dan industri,” kata beliau.

Sementara itu, untuk menyelesaikan isu pekerja asing yang melarikan diri, beliau berkata satu jawatankuasa teknikal akan meneliti cadangan pemotongan 20 peratus gaji pokok pekerja asing secara holistik.

“Jawatankuasa ini akan melaporkan kepada kementerian mengenai hasil penemuan mereka pada 29 Jan. Ia juga perlu mendapatkan kelulusan daripada Kabinet, kemudian Parlimen, ini adalah cabaran tetapi saya fikir ia akan berjalan dengan baik untuk pekerja asing,” katanya.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia telah mencadangkan supaya majikan memotong 20 peratus daripada gaji pokok pekerja asing mereka bertujuan menghalang asing pekerja dari melarikan diri dan mengelakkan majikan daripada menanggung kerugian bagi pelaburan untuk membawa masuk pekerja.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast