Muhammad Adib Mohd Kassim

IPOH – Penggunaan mesin sokongan Veno-Venous Extracorporeal Membrane Oxygenation (VV-ECMO) yang kini digunakan bagi merawat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang dilaporkan kembali kritikal adalah yang terbaik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ini, kerana peranan utama mesin itu adalah untuk membantu menyokong tiga organ dalamannya yang terjejas akibat dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, bulan lalu.

“Keadaan Adib kritikal dan beliau kembali menggunakan mesin VV-ECMO yang membantu menyokong bernafas (paru-paru), buah pinggang dan jantung.

“Adib kini dipantau oleh beberapa doktor pakar dan penggunaan mesin itu adalah terbaik untuk membantu tiga organ dalaman terbabit,” katanya menurut BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) 2018 di sini hari ini.

Kesihatan Muhammad Adib dilaporkan semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 24 jam lalu.

Institut Jantung Negara (IJN), dalam kenyataan hari ini berhubung perkembangan terkini Muhammad Adib, berkata selepas menjalankan penilaian menyeluruh, paru-paru anggota bomba itu didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, justeru menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya masih belum dapat mengenalpasti punca Muhammad Adib semakin kritikal tetapi ia mungkin disebabkan oleh kesan trauma serius yang dialaminya sebelum ini.

“Apa yang kita harapkan, beliau dapat keluar dari fasa kritikal ini dengan segera dan kita semua dapat sama mendoakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast