Pocketrocketman raih perak dalam keirin piala dunia di London sekaligus mencerahkan peluang layak ke Olimpik 2020

KUALA LUMPUR – Jaguh elit lumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki siri keempat Kejohanan Lumba Basikal Trek Piala Dunia UCI di London pada Sabtu semalam.

Acara itu sedang berlangsung di Lee Valley Velopark, Stratford, London.

Azizulhasni atau lebih digeruni sebagai Pocketrocketman itu berjaya memberi saingan kuat kepada dua pelumba Belanda Matthijs Buchli dan Theo Bos yang masing masing meraih pingat emas dan gangsa dalam acara tersebut.

Azizulhasni berkongsi kemenangan itu di laman Facebook beliau untuk dikongsi kepada rakyat Malaysia.

“Mengambil semangat daripada pasukan Harimau Malaya (bola sepak negara) yang beraksi di AFF Suzuki Cup, saya telah berjaya mendapat pingat PERAK didalam acara Keirin di Kejohanan UCI Track Cycling World Cup London 2018 dimana kejohanan ini disertai sebanyak 47 negara.

“Saya gembira kerana pencapaian ini adalah satu peningkatan selepas mendapat pingat gangsa di siri World Cup yang lepas di Berlin,Jerman,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau 45 minit lalu.

Sesungguhnya, kata beliau, kejayaan itu adalah indikasi yang menunjukkan beliau berada di landasan yang betul di dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau turut mengucapkanm terima kasih kepada para penyokongnya khususnya penaja penaja yang sentiasa mendampinginya. – MalaysiaGazette