Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pelbagai lapisan pemimpin dan rakyat di Sabah kecewa dengan keputusan sebahagian besar Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO lompat parti menyertai Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berada di Sabah selama dua hari untuk mendengar permasalahan yang berlaku sehingga kumpulan itu mengambil keputusan keluar UMNO.

“Selama dua hari bertemu dengan pelbagai lapisan pemimpin dan rakyat di Sabah, apa yang mereka luahkan ialah rasa kecewa yang amat sangat dengan keputusan lompat parti oleh kalangan pemimpin mereka.

“Ada yang menyuarakan supaya pemimpin yang melompat parti itu mengosongkan kerusi yang disandang agar rakyat boleh menghukum dengan memastikan kekalahan mereka.

“Rakyat kata, apabila menang atas tiket UMNO, tidak ada sebab untuk kamu menyertai parti lain kerana kemenangan kamu atas sokongan kepada UMNO bukan batang tubuh kamu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Rabu lalu, seramai 13 ahli UMNO dan pemimpin kanan di Sabah bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, kerana tidak yakin dengan hala tuju parti.

Mereka mendakwa, kepimpinan UMNO pusat tidak mempunyai arah politik yang jelas menyebabkan mereka sepakat mengambil keputusan drastik itu.

Keputusan sebulat suara itu juga diambil kerana kesal dengan pucuk kepimpinan UMNO pusat yang tidak bersatu dan sering bercanggah pendapat.

Menurut Ismail Sabri, rakyat merasakan mereka dikhianati apabila amanah yang diberikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu telah disalahgunakan.

Kata beliau, seharusnya seorang Ahli Parlimen atau ADUN yang dipilih mewakili rakyat membawa permasalahan untuk perhatian kerajaan pemerintah, bukan membuat keputusan hanya untuk kepuasan dan kepentingan diri sendiri.

“Kebimbangan saya, jika terus berlaku Ahli Parlimen lompat parti menyokong kerajaan PH, mereka bakal mendapat majoriti dua per tiga dalam parlimen dan memiliki kuasa untuk membuat pindaan apa juga perkara dan fasal dalam perlembagaan negara.

“Harus kita ingat kenyataan Tun Dr Mahathir (Mohamad) berkaitan ICERD tidak boleh diratifikasikan ialah kerana mereka tidak mempunyai cukup majoriti dua per tiga untuk membuat pindaan kepada beberapa perkara dalam perlembagaan sehingga membolehkan mereka meratifikasikan konvensyen itu.

“ICERD senang sahaja diratifikasikan apabila majoriti dua per tiga dimiliki mereka dari hasil Ahli Parlimen UMNO yang lompat ini,” katanya.

Katanya, jika semua itu berlaku, Ahli Parlimen yang lompat parti itu yang menjadi punca kepada kejayaan kerajaan PH dalam usaha meratifikasikan ICERD kelak.

“Bukan sekadar ICERD boleh diratifikasikan, Perkara 153 dan Perkara 3 juga boleh dipinda apabila kerajaan PH mendapat majoriti dua per tiga dalam parlimen,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast