Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub. foto IQBAL BASRI, 17 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Beberapa jenis ikan terpilih akan dikenakan larangan sekatan eksport pada pra dan pasca perayaan serta musim tengkujuh pada Januari ini.

Antara spesis ikan segar dan sejuk beku yang telah dikenalpasti tidak dieskport ke luar negara termasuk kembung, selar, pelaling, bawal dan udang tangkapan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, sekatan eksport ini akan bermula 1 Januari sehingga 28 Februari 2019 bagi menampung kekurangan bekalan ikan tempatan.

“Kita melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan melaksanakan Sekatan Eksport Spesis Ikan Terpilih mengikut kaedah-kaedah Pemasaran Ikan LKIM 2010.

“Bagi mengimbangi keperluan semasa fenomena yang bersifat sementara, sebanyak tiga persatuan iaitu Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) dan Persatuan Nelayan Kawasan Besut (PNK Besut) telah diberi tanggungjawab untuk menjadi pusat simpanan ikan sejuk beku serta gerakkan bekalan QFish seluruh negara,” katanya hari ini.

Tambah Salahuddin, Nekmat juga menampung bekalan ikan bagi kawasan tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.

“Nekad pula bagi kawasan utara manakala PNK Besut bagi kawasan pantai Timur. Penghantaran tidak menjadi halangan memandangkan Nekmat mempunyai kemudahan lori kontena dan lori penghawa dingin yang boleh digunakan untuk pengedaran ke seluruh negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memberi kelulusan khas kepada penguasa kapal tradisonal bermuatan 15 GRT ke bawah bagi negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur untuk menangkap udang semasa musim tengkujuh.

“Ini untuk membantu meningkatkan pendapatan kepada nelayan terutamanya ketika musim tengkujuh seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan hidup masyarakat nelayan tradisonal.

“Tempoh kelulusan khas ini adalah selama 2 bulan bermula Januari sehingga Februari 2019 kelak,” katanya. – MalaysiaGazette