Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul kaunter ketiga paling rugi di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan media bahawa harga perkhidmatan jalur lebar Malaysia dijangka susut sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun ini.
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kelajuan Streamyx akan dinaikkan dua kali ganda sehingga 8Mbps secara percuma bagi para pelanggan yang menetap di kawasan tanpa liputan unifi.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat liputan, pelanggan boleh memilih rumusan jalur lebar wayarles 4G LTE.

Telekom Malaysia Berhad (TM) berkata, aktiviti menaik taraf sedang dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai menjelang suku pertama tahun 2019.

Setakat ini, TM telah berjaya menaik taraf hampir 60 peratus daripada lebih 340,000 pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan liputan unifi.

“Kami menggalakkan baki pelanggan Streamyx yang masih belum menyertai komuniti unifi agar mengambil peluang ini untuk mendapatkan naik taraf percuma.

“Buat para pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan tanpa liputan unifi, TM komited untuk terus melabur dalam teknologi yang bersesuaian bagi membawakan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehingga kini, hampir 70 peratus pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan tanpa liputan unifi telah dinaik taraf kepada dua kali ganda kepantasan Streamyx.

Hanya 65,000 lagi yang masih belum dinaik taraf, tambahnya. – MalaysiaGazette