kuil
Kenderaan yang dibakar orang ramai susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 27 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Seramai 12 orang telah diberkas bagi membantu siasatan kes melibatkan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

MalaysiaGazette difahamkan, kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan.

Menurut sumber, walaupun ada yang dibebaskan dengan jaminan polis, namun itu bukan bermakna polis ‘sengaja’ berbuat demikian.

Ujar sumber tersebut, gerakan memburu mereka yang terlibat tidak pernah berhenti walaupun dengan adanya tangkapan-tangkapan tersebut.

” Sewaktu kejadian ada ramai yang berada di lokasi kejadian jadi kita tidak boleh sebarangan membuat tangkapan dan sebagainya. Siasatan perlu dibuat dengan rapi dan teliti, bukan saja dalam kes ini malah dalam apa-apa kes sekali pun.

” Masyarakat tidak boleh cepat membuat kesimpulan yang setiap individu yang ditangkap, itulah pelakunya. Mungkin kita nak dia untuk membantu siasatan sahaja.

“Kita faham semua nak kita selesaikan kes ini dengan cepat, kita juga mahu berbuat demikian tetapi bukan semua kes boleh selesai dengan mudah, ia perlu dilihat daripada segala sudut agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya pada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Polis semalam mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib daripada cuba bunuh kepada bunuh.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, berkata kes berkenaan kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian Muhammad Adib ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba bunuh, ekoran kecederaan yang dialami oleh Muhammad Adib dalam kejadian di Seafield, Subang Jaya pada 26 November lalu.

“Namun kes itu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Adib, 24, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast