Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pemergian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim malam tadi turut mendapat simpati pemimpin Pas.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menzahirkan rasa sedih menerima berita malang menimpa Allahyarham Muhammad Adib, yang menjadi mangsa dalam tragedi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada malam 27 November lalu.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya, diampunkan segala dosa-dosanya dan ditempatkan di kalangan para syuhada dan orang yang soleh.

“Kita menjadi saksi pengakhiran hidupnya yang baik sehingga terkorban nyawa demi menyelamatkan dan menjaga keharmonian negara. Namun Allah lebih menyayangi dirinya dan lebih mengetahui hikmah disebaliknya,” katanya dalam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib di sini, hari ini.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di kuil itu disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN).

Perkara itu diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di IJN.

Jenazah Muhammad Adib dibawa pulang ke kediamannya di Kedah awal pagi ini selepas selesai bedah siasat.

Abdul Hadi meminta kaum keluarga dan sahabat sepasukan banyakkan bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang perit itu.

“Ingatlah, dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia, Nuridah Mohd Salleh berkata, beliau menerima khabar itu dengan hati yang hiba kerana kejadian yang berlaku sebelum ini telah menggemparkan satu Malaysia hingga mengakibatkan kematian insan yang tidak berdosa.

“Saya mewakili seluruh kepimpinan Dewan Muslimat Pas Malaysia merakamkan ucapan takziah terutama buat ayah dan ibu Allahyarham Muhammad Adib serta ahli keluarga seluruhnya.

“Bersabarlah di atas ujian ini. Mudah-mudahan setiap yang berlaku ada hikmahnya. Semoga kehilangan ini akan memberikan 1001 hikmah dan iktibar buat semua,” katanya.

Beliau juga berharap semoga ada keadilan yang akan dipertahankan bagi keluarga Allahyarham Muhammad Adib dengan yang bersalah mesti dihukum sesuai dengan ajaran Islam.

“Berbahagialah Adib di sana, dan bersaksilah seluruh rakyat Malaysia sangat merasai pemergian Adib dan menitipkan doa yang sebaiknya buat Al-Marhum,” katanya.