Ibu, Asma Aziz kelihatan pilu sewaktu mengiringi anaknya, Muhammad Adib Mohd Kassim sebelum diterbangkan dengan Helikopter MI-17 ke kediaman keluarganya di Kampung Tebengau, Jalan Kuala Kedah bagi urusan pengebumian di Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kenderaan yang membawa jenazah Muhammad Adib Mohd Kassim telah tiba di Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelemat di Subang tepat pukul 8 pagi tadi.

Kira-kira 200 orang pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat hadir bagi memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah Allahyarham diterbangkan ke kampung halamannya di Kuala Kedah.

Jenazah Muhammad Adib akan diterbangkan dengan menggunakan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Sekolah Kebangsaan Tebengau di Kuala Kedah.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 Isnin malam selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu.

Ahad lalu, Institut Jantung Negara melalui satu kenyataan memaklumkan kesihatan Muhammad Adib kembali merosot apabila paru-parunya gagal berfungsi terpaksa memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada jam 9 malam Isnin untuk membantu keperluan sistem pernafasannya. – MalaysiaGazette