Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek bercakap kepada media selepas selesai hadir proses pengebumian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah, Kedah. foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Keluarga aggota bomba yang maut semalam akibat cedera parah dipukul semasa rusuhan di kuil Sri Maha Mriamman akan diberikan pampasan sebanyak RM200,000.

Pampasan daripada kerajaan itu adalah untuk membantu keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim yang berusia 24 tahun itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Mohammad Mentek berkata, selain itu allahyarham Muhammad Adib juga akan dinaikkan pangkat daripada B16 ke B22.

“Kita setuju memberikan kenaikan pangkat secara posturmes kepada allahyarham. Sekarang Allahyarham KB16 akan dinaikkan pangkat KB22.

“Sedikit sebanyak pencen akan diberikan lebih daripada yang asal. Pampasan daripada kerajaan setakat ini lebih kurang RM200,000,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis pengkebumian di Kampung Tebengau. 

Mewakili Zuraida Kamaruddin, Mohammad menyampaikan pujian kepada semua pihak yang memberikan kerjasama yang baik selama 21 hari Muhammad Adib dirawat di Institut Jantung Negara (IJN). 

“Terima kasih juga bagi pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL). Pada semua pihak yang telah memberikan komitmen semasa Allahyarham menjalani rawatan dan semasa urusan pengkebumian yang mana kita lihat urusan berjalan lancar,” tambahnya. – MalaysiaGazette