Ambulans membawa jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. foto SYAFIQ AMBAK, 18 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bersetuju jenazah anak mereka menjalani proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur.

Berikutan persetujuan itu, jenazah Muhammad Adib kini telah dibawa ke HKL untuk bedah siasat sebelum dibawa ke kampung halaman di Kedah untuk dikebumikan.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, pihaknya akan menanggung segala belanja serta kebajikan keluarga sehingga proses ini selesai.

“Pihak keluarga telah bersetuju untuk ‘post mortem’. Selepas ini, kita akan membawa pulang jenazah ke kampung halaman.

“Segala kebajikan akan dijaga dan diatur oleh kerajaan ketika ini. Semua akan ditanggung oleh kita,” katanya kepada pemberita di perkarangan IJN sebentar tadi. -MalaysiaGazette