Syed Osman Mansor
Syed Osman Mansor

KUALA LUMPUR – Malapetaka yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan keluarganya tidak boleh dipandang remeh, tegas Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah, Syed Osman Mansor.

Beliau berkata, sebarang kelemahan dan kelembapan dalam usaha mencari kebenaran serta penyelesaian berhubung insiden itu akan dilihat sebagai kegagalan pihak berwajib.

“Seluruh negara turut bersedih dengan kematian anggota Bomba dan Penyelamat itu. Rakyat mahukan keadilan dan Perkasa Kedah tetap akan mengikuti perkembangan kes ini secara berterusan dengan penuh minat,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Syed Osman, pertubuhan itu dukacita dengan cara kematian Allahyarham Muhammad Adib, selepas menerima rawatan rapi di Institut Jantung Negara (IJN) akibat parah dipukul.

Katanya, kematian Muhammad Adib amat menyayat hati kerana beliau terkorban ketika sedang menjalankan tugas menyelamat di tempat kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Sehubungan itu, ujar beliau, Perkasa Kedah mendesak kerajaan menjalankan siasatan rapi dan teliti supaya yang bertanggungjawab dengan kejadian itu dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Bagi kita, kebenaran kepada episod malang ini perlu dibuktikan,” katanya.

Beliau turut mengulangi desakan Perkasa pusat supaya kerajaan menubuhkan prosiding siasatan diraja (RCI) bagi mendapatkan kebenaran mutlak.

“Perkasa Kedah tetap berpegang kepada “the rule of law”, mereka yang jika terbukti bersalah mesti menerima hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

“Kita juga bersedih dengan anggota Bomba dan Penyelamat yang hilang seorang rakan seperkhidmatan dengan cara sungguh mengejutkan. Kita harap mereka terus bersemangat dalam menjalankan tugas,” katanya. – MalaysiaGazette