Muhammad Adib
Tunang, Nurul Najihah Mohd Radzi menabur bunga mawar di atas pusara Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah, Kedah. foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2018

KUALA KEDAH – Jenazah Muhammad Adib Mohd Kassim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah menjelang waktu zohor tadi. 

Talkin dibacakan serentak dengan azan sebentar tadi.

Perjalanan Muhammad Adib daripada Insitut Jantung Negara (IJN) sehingga ke tanah kubur lancar, cuaca yang baik tidak terlalu panas, tidak pula hujan. 

Pilu dan sedih menyelubungi pengkebumiaan anggota bomba yang dianggap wira itu dengan kehadiran ribuan warga Kampung Tebengau Sekolah Kebangsaan, lokasi ketibaan jenazah pada 10:29 pagi tadi dan yang menantikannya di tanah perkuburan.

Ibu bapa Muhammad Adib memilih untuk tidak membuka mulut kerana terlalu sedih kehilangan anak kedua daripada empat adik-beradik itu. 

Tunangnya Nurul Najihah Mohd Radzi, 25 tidak jauh beza cukup beremosi di atas kehilangan bakal suami.

Mereka berdua sepatutnya melangsungkan majlis perkahwinan pada 22 Disember ini.

Nurul tidak berhenti-henti menangis sejak jenazah tiba di Kuala Kedah sehinggalah selesai. 

Jenazah Muhammad Adib diterbangkan ke Kuala Kedah dengan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat pada pagi tadi.

Muhammad Adib mengalami kecederaan parah sejak November lalu akibat dipukul semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Polis Selangor telah mengklasifikaskan kematian Muhammad Adib sebagai kes bunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast