kuil
Kenderaan yang dibakar orang ramai susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Senator P. Waytha Moorthy dikecam hebat berikutan kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, di Institut Jantung Negara 9.41 malam tadi.

Kebanyakan pengguna Twitter yang berkongsi kesedihan terhadap pemergian Allahyarham mengecam Waytha Moorthy sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap segala yang berlaku.

Di ruang Facebook pula ramai netizen bersimpati dengan nasib yang menimpa arwah yang tidak berdosa itu sambil membidas Waytha Moorthy sebagai pihak yang harus bertanggungjawab terhadap insiden yang menyayat hati itu.

Netizen juga mempersoalkan apakah wajar nyawa insan tidak berdosa terkorban dalam usaha menyelamatkan rumah ibadat selain meratapi perasaan sedih dan marah yang dilalui sahabat sahabat dan ahli keluarga mangsa.

“Saya sebagai warga bukan Melayu begitu sedih dan pilu dengan kematian arwah Adib, bagaimana perasaan ahli keluarga, kawan Melayu lain yang turut tidak dapat menahan kesedihan mereka dengan insiden ini? Tuhan mahu kemanusiaan, Kami tidak memerlukan keganasan berdarah lagi… ,” kongsi seorang wanita India dalam laman Facebooknya.

Hashtag #ShameOnYouWaytha dan #WAYthaOUT turut tular dalam Facebook serta Twitter.

Rata-rata pengguna Twitter mendesak Waytha Moorthy supaya berundur kerana tidak layak lagi menyetai kabinet kerajaan.

Tular kenyataan seorang pengguna bernama Mathis Sarawanan yang dikongsi dalam akaun twitter ‘Malaysia Most Virall’ menggariskan 6 faktor pemergian Muhammad Adib.

Dalam kenyataan itu, katanya, Adib meninggal dunia disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab bekas pengerusi kuil itu yang menghilangkan diri dengan wang pampasan jutaan ringgit dan seluruh jawatankuasa kuil itu bertanggungjawab terhadap kematian itu.

Pemaju juga dikecam kerana didakwa tindakannya menerusi peguam syarikat yang mengupah orang untuk menceroboh premis itu sehingga membawa kepada rusuhan besar sedangkan ia boleh diselesaikan menerusi prosedur serta bantuan polis setelah mendapat perintah mahkamah.

Tindakan tidak bertanggungjawab sekumpulan India yang menyebarkan video berunsur menghasut dan mesej berbau perkauman atas nama emosi serta langkah kurang bijak pemimpin dan menteri yang menyalahkan polis tanpa menyedari mereka sebenarnya pihak berkuasa yang menjaga keamanan.

Pengguna Twitter, Mathis juga mengutuk beberapa individu yang hadir dalam rusuhan yang berakhir dengan anggota bomba, Muhammad Adib dibelasah teruk sehingga menyebabkan kematiannya semalam.

Menurutnya, kebiadapan pengurusan kuil yang cuba menutup kebenaran dengan mendakwa Muhammad Adib tidak dipukul tetapi dilanggar kenderaan bomba juga merupakan satu pembohongan besar dan menegaskan individu itu perlu bertanggungjawab dan menggesa mereka memohon maaf dan mahu polis bertindak cari pengkhianat yang masih bersembunyi.

“Yang selebihnya, sebagai hormati kematian dan roh Adib sila minta maaf dan berundur, berambus, setiap dari anda mengagalkan kepercayaan kami sebagai rakyat yang mencintai keamanan,” keluh Mathis lagi.

Seorang pemilik akaun Twitter, Amir Farhan turut memuat naik komennya berbunyi: “Sila letak jawatan Waytha Moorthy! kamu harus bertanggungjawab ke atas kematian hero kami Muhammad Adib,”.

Manakala seorang lagi pemilik Twitter, DannyRamly pula menyifatkan menteri yang memegang portfolio perpaduan di Jabatan Perdana Menteri itu tidak layak berada dalam Kabinet dan tidak layak digelar Menteri Perpaduan kerana isu kuil tiada penyelesaian yang efektif daripadanya.

Seorang lagi pengguna Twitter juga menyifatkan semua akan mengingati Waytha Moorthy sebagai lelaki yang melindungi perusuh dan bukannya penguatkuasa.

“Kalau kamu ada kesopanan, kamu harus letak jawatan,” katanya.

Pengguna Twitter bernama Pradeesh @Prasys turut mendesak Waytha Moorthy berundur sambil menyifatkan pemimpin itu sangat memalukan.

Terdapat juga ulasan netizen dalam Twitter menegaskan Waytha Moorthy kini berada di penghujung karier ekoran kematian Muhammad Adib.

Ada yang meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil tanggungjawab dalam insiden ini.

Mereka berpendapat Waytha Moorthy perlu berundur atas keceluparan mulutnya yang harus menjadi pengajaran kepada semua pemimpin dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan supaya berfikiran waras sebelum mengeluarkan kenyataan.

Malah terdapat pengguna Twitter menyifatkan ia bukan sekadar kebencian rakyat terhadap Waytha Moorthy tetapi juga kematian yang disebabkan  ketidakupayaan beliau.

“Insiden sedemikian pernah berlaku di negara maju seperti Korea dan Jepun yang mana mereka yang bertanggungjawab akan berundur secara bermaruah tanpa didesak rakyat,” kata pengguna bernama Uzair Jasmin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast