Suasana di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur di mana pihak media dan orang ramai menunggu proses bedah siasat Muhammad Adib Mohd Kassim dijalankan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pemergian Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, anggota bomba dan penyelamat malam tadi selepas bertarung nyawa selama tiga minggu di Institut Jantung Negara (IJN) sememangnya meninggalkan kesan kepada seluruh masyarakat.

Berita kematiannya bukan sahaja menjadi topik hangat di media massa malah, di laman-laman sosial juga netizen turut melahirkan kesedihan.

Perkara sama dirasai oleh Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) yang diketuai Pengerusinya, Ustaz Rafie Zainal apabila dengan pantas mengambil tanggungjawab menghulur khidmat bagi menguruskan jenazah Allahyarham.

Sejurus menerima perkhabaran mengenai pemergian Muhammad Adib pada pukul 9.41 malam, sekumpulan anggota skuad tersebut telah bergegas ke Bilik Mayat IJN untuk melakukan persediaan mengurus jenazah selepas mendapat lampu hijau daripada pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Wartawan MalaysiaGazette yang turut serta bersama skuad tersebut telah menunggu di bilik mayat IJN kira-kira pukul 11.30 malam apabila diberitahu jenazah akan dibawa terus ke bilik itu untuk dimandi dan dikafan sebelum diterbangkan ke Alor Setar pagi ini.

Bagaimanapun, setelah menunggu hampir 40 minit, akhirnya skuad yang telah bersedia bagi tujuan itu dimaklumkan bahawa jenazah Allahyarham telah dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat bagi mencari punca kematian ekoran polis telah mengklasifikasikan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Skuad tersebut dengan pantas menuju ke HKL dan sejurus tiba di sana mereka telah mendapat kerjasama untuk ke bilik mayat daripada pihak polis dan pasukan bomba yang sememangnya sudah berada di situ lebih awal.

hkl
Skuad Pengurusan Jenazah di Hospital Kuala Lumpur.

Selepas persetujuan dicapai oleh pihak IPFN dan bomba untuk urusan menyempurnakan jenazah, tiba-tiba pada pukul 2.15 pagi tiga pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan kumpulan berkenaan dan pihak hospital bahawa mereka mahu menguruskan jenazah Muhammad Adib.

Persoalan yang timbul, kenapa pihak JAWI tidak muncul ketika mula-mula urusan jenazah hendak dilakukan dan mengapa setelah semua persiapan dibuat oleh skuad berkenaan baru kelibat mereka dilihat.

Pada awalnya, Rafie memberitahu bahawa mereka tetap akan menguruskan jenazah Allahyarham kerana bomba memberikan kerjasama kepada mereka selepas menjalin hubungan erat ketika menguruskan jenazah enam anggota bomba yang terkorban akibat lemas dalam kejadian semasa menyelamat seorang remaja dilombong berhampiran Taman Putra Perdana, Cyberjaya dekat Selangor pada 3 Oktober lepas.

Akan tetapi, skuad itu diminta supaya beredar dari kawasan IPFN oleh anggota polis bantuan selepas diminta oleh JAWI agar mereka berbuat demikian.

Mereka kemudiannya akur dengan arahan tersebut dan meninggalkan IPFN kira-kira pukul 3.30 pagi.

Sementara itu, Rafie menerusi laman Facebook Skuad Pengurusan Jenazah memuat naik posting, terkilan dengan situasi yang dihadapi oleh mereka itu.

“Kerana birokrasi yang mengutamakan nama dan jawatan, akhirnya jam 3.30 pagi, kami di arah beredar dari perkarangan Forensik Negara, HKL kerana pihak jabatan agama yang baru tiba ingin menguruskan jenazah arwah Muhammad Adib sendiri dan tidak mahu ada kerjasama langsung dengan SPJ Malaysia.

“Rasa terkilan diperlakukan sedemikian walaupun kerjasama kami dengan pihak Bomba dan Penyelamat telah disusun lebih awal.

“Namun tak mengapalah yang penting jenazahnya dapat diuruskan dengan sempurna.
Selamat tinggal Adib. Kami pulang dahulu,” tulisnya. – MalaysiaGazette